Header Ads

Header ADS

Chong Kini Sedang Mengelabah Gagal Jawab Persoalan - Abdullah


KUCHING - Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen gagal menjawab beberapa persoalan, lantas menunjukkan beliau menggelabah.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Abdullah Saidol yang berkata demikian menambah, kegelabahan politik itu mungkin disebabkan janji pilihan raya mereka tidak dapat ditunaikan.

“Merujuk kepada kenyataan Chong, memang benar tawaran Pakatan Harapan (PH) Sarawak memerlukan pindaan terhadap beberapa perkara dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Tetapi saya tidak langsung menyentuh mengenai ketidakupayaan PH memperolehi dua pertiga majoriti bagi pindaan Perlembagaan,” katanya menerusi kenyataan media semalam.

Beliau katanya percaya Ahli-ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menyokong apa jua pindaan yang memanfaatkan Sarawak dan rakyatnya.

Apa yang menarik tentang hujah balas Chong ialah tiada penafian bahawa beliau pernah berjanji untuk membentang Usul dalam Parlimen bagi meminda Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 yang diumumkan menerusi media pada 11 Mac 2018, jelasnya.

“Menurut Chong, pindaan kecil terhadap Seksyen 2(1) PDA 1974 akan membolehkan Sarawak menuntut semula hak milik minyak dan gas di negeri ini.

“Jika Chong melihat pindaan itu mudah hendak dilaksanakan dan jika ada nilai integriti dalam setiap kenyataan beliau, maka kami menunggu untuk beliau membentangkan usul seperti dijanjikan,” tegasnya.

Beliau yakin warga Sarawak menunggu Chong yang juga Pengerusi PH Sarawak membuktikan kebenaran dan keikhlasan terhadap inisiatif Sarawak memperolehi semula hak dan kepentingan terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963.

Tetapi agak malang apabila Chong masih mencari alasan dalam menyatakan pendirian susulan kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad bahawa Sarawak akan dibayar 20 peratus berasaskan keuntungan Petronas.

“Apakah pendirian Pengerusi PH Sarawak dalam hal ini?” soal Abdullah.

Katanya, beliau ingin melihat sejauh mana slogan prihatin terhadap Sarawak menjadi pegangan Chong dan rakan-rakannya, adakah sekadar retorik politik untuk menarik pengundi dan memenangi pilihan raya.

“Berhenti memberi alasan tidak munasabah kerana warga Sarawak sudah muak dengan politik putar belit dan manipulasi. 

“Kami menunggu jawapan telus daripada pemimpin PH Sarawak yang membentuk Kerajaan Persekutuan,” katanya.

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.