Header Ads

Header ADS

Kerajaan Sarawak Guna Dana Sendiri RM50 Juta Sambung Bekalan Elektrik Ke 113 Sekolah


BAU - Kerajaan Sarawak akan menggunakan dana sendiri untuk menyambung bekalan elektrik ke 113 sekolah yang masih menggunakan penjana kuasa dengan kos RM50 juta.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin berkata, perkara ini telah diputuskan oleh Ketua Menteri pada mesyuarat kabinet baru-baru ini.

Selain itu, kerajaan menurut Manyin juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM9 juta bagi menyambung bekalan air ke sekolah-sekolah yang boleh disambung ke paip utama.

“Jabatan Pendidikan telah mengenal pasti 113 sekolah yang terletak tidak jauh dari grid dan boleh disambung kepada grid tetapi masih menggunakan penjana kuasa.

“Keseluruhannya terdapat sebanyak 371 sekolah yang masih menggunakan penjana kuasa dan 428 sekolah tanpa bekalan air terawat,” katanya menambah maklumat ini telah diberikan kepada Kementerian Pendidikan di peringkat persekutuan.

Manyin berkata demikian ketika ditemui pada upacara pengebumian mendiang Catherine Janet Tiwi di Kampung Skio, dekat sini semalam.

Tambah Manyin, Sarawak telah diabaikan dalam tempoh 50 tahun ini di mana terdapat sebanyak 1,020 sekolah daif.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 415 sekolah adalah kritikal daif yang mana tidak dapat dibaik pulih melainkan bina semula.

“Tahun lepas di bawah Bajet 2018, kerajaan persekutuan telah meluluskan peruntukan RM1 bilion untuk membina sekolah daif di negeri ini dalam tempoh dua tahun.

“Separuh daripadanya iaitu RM500 juta akan dibelanjakan tahun ini dan baki RM500 juta lagi akan digunakan untuk tahun depan. “Jadi kita berharap kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) akan menunaikan janji ini,” katanya.

Bercakap mengenai penubuhan tabung bantuan yang diwujudkan dengan dana permulaan RM50,000 daripada kerajaan Sarawak, Manyin berkata ia kini telah mencecah RM100,000.

Beliau sendiri telah menyumbang RM30,000 dan berharap lebih banyak pihak atau individu akan menghulurkan sumbangan untuk disalurkan kepada mangsa terlibat. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.