Warga Emas Meninggal Dunia Akibat Kereta Terjatuh Dalam Sungai
KUCHING - Seorang warga emas meninggal dunia dipercayai lemas selepas kereta yang dipandunya terjunam ke dalam sungai di Sejingkat Power, Kampung Gobel di sini, pagi ini.
Komander Operasi PBT Mosli bin Hj. Salim berkata, pihaknya telah menerima laporan kejadian pada jam 9.38 pagi dan menggerakkan sepasukan ke lokasi kejadian.
"Sepasukan anggota Bomba seramai 9 orang yang diketuai PBK II Mazrom bin Ampahom bersama sebuah FRT dan sebuah Hilux dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya telah digerakkan ke tempat kejadian.
"Setiba di tempat kejadian, didapati sebuah kereta jenis KIA RIO telah jatuh ke dalam sungai sedalam dua meter.
"Pihak kami telah menggunakan kaedah 'water surface searching' di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Bomba telah melakukan penyelaman bagi mengikat tali pada kereta tersebut untuk ditarik keluar dengan menggunakan jengkaut pada jam 10.50 pagi.
"Selepas kereta berjaya dinaik ke darat, didapati seorang warga emas yang tiada pengenalan diri berada di dalamnya.
"Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," ujarnya.
Selain Bomba, turut berada di tempat kejadian bagi membantu operasi 4 orang anggota polis dan seorang anggota Bomba Sukarela.
No comments