Pemain Sarawak Tunjuk Aksi Cemerlang Ikat MISC-MIFA
KUCHING - Pengurus Pasukan Sarawak, Awang Mahyan Awang Mohamed memuji persembahan cemerlang yang ditunjukkan oleh pemain-pemainnya apabila berjaya mengikat MISC-MIFA dengan 2-2 pada aksi Liga Premier di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam kelmarin.
Menurut beliau, semua pemain Sarawak menunjukkan semangat perjuangan yang tinggi untuk bangkit daripada ketinggalan dua gol sekali gus mencatatkan keputusan seri meskipun bermain dengan hanya 10 orang pemain sahaja.
“Saya cukup bangga dengan karektor yang ditunjukkan oleh semua pemain. Mereka enggan mengalah walaupun kita ketinggalan dan bermain dengan 10 pemain selepas Hairol Mokhtar dibuang padang.
“Secara keseluruhan saya amat berpuas hati dengan persembahan pemain-pemain kita ketika menentang pasukan berstatus kelab, MISC-MIFA dan mereka bermain dengan baik,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Bagaimanapun, Awang Mahyan berharap pemain-pemain dapat mengekalkan momentum serupa apabila menentang PDRM pada aksi selepas ini.
Penyerang kelahiran Sabah, Bobby Gonzales muncul penyelamat Sarawak dengan menjaringkan dua gol membolehkan mereka membawa pulang satu mata daripada perlawanan tersebut.
Bobby meledakkan gol pertama menerusi sepakan penalti dalam masa kecederaan (45+2) ketika Sarawak ketinggalan dua gol.
Pemain penyerang berpengalaman itu kemudian meletakkan kedudukan kembali seimbang dengan menjaringkan gol kedua pada minit ke-67.
Tuan rumah terlebih dahulu mendahului pada minit ke-26 menerusi Barathkumar Ramaloo.
Manakala minit ke-33, Sarawak terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas tonggak pertahanan, Hairol Mokhtar dilayangkan kad merah kerana menjatuhkan penyerang lawan dalam petak penalti.
Tuan rumah memanfaatkan sepenuhnya kepincangan Sarawak dengan jaringan kedua oleh Elizeu Batista pada minit ke-36 dan kedudukan terikat 2-2 setelah tamat perlawanan.
Keputusan seri itu bagaimanapun menjunamkan Sarawak ke tangga kelapan dengan mengumpul 16 mata.
Sarawak akan meneruskan kempen menentang PDRM di Stadium Shah Alam pada 21 Jun ini. -Utusan Borneo Online
No comments