Wanita PBB Mahu Setiausaha Persekutuan Keluar Garis Panduan Bidang Kuasa Dan Kerjasama Kepada Jabatan Dan Agensi Persekutuan
KUCHING - Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mahu Setiausaha Persekutuan mengeluarkan garis panduan yang jelas mengenai bidang kuasa dan kerjasama kepada jabatan serta agensi persekutuan di Sarawak.
Ketua Pergerakan Wanita PBB Dato Sri Fatimah Abdullah berkata garis panduan yang jelas mengenai perkara itu perlu kerana berpendapat ramai penjawat awam persekutuan di Sarawak dalam dilema berikutan senario baharu kerajaan sekarang.
“Oleh kerana ini situasi baharu, di peringkat negeri kerajaan adalah GPS (Gabungan Parti Sarawak) manakala di peringkat persekutuan pula PH (Pakatan Harapan).
“Semua kita sedia maklum mengenai perkara ini dan cuba menyesuaikan diri dengan senario baharu sekarang sama ada parti politik, rakyat jelata mahupun penjawat awam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Pergerakan Wanita PBB diikuti Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri bersama Wanita GPS di kediamannya di sini semalam.
Fatimah yang juga Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak berkata perkara itu antara persetujuan dicapai pada mesyuarat berkenaan.
“Kita memohon Setiausaha Persekutuan mengeluarkan satu garis panduan yang jelas kepada jabatan dan agensi persekutuan yang berada serta berkhidmat di Sarawak.
“Ini penting supaya mereka (penjawat awam persekutuan) jelas apakah sempadan (tugas), bentuk kerjasama yang dibolehkan dan sebagainya. Kita tahu mereka juga dalam dilema sekarang,” ujarnya.
Beliau berkata dengan garis panduan yang jelas itu semua pihak dapat melangkah maju.
Tambahnya, garis panduan seperti itu tidak boleh diberikan melalui aplikasi telefon pintar WhatApps yang tidak diketahui kesahihannya.
Sementara itu katanya, Pergerakan Wanita PBB akan memain peranan penting menjadi jambatan penghubung memperkukuh integrasi antara Kerajaan Sarawak dengan kerajaan persekutuan di bawah PH.
Beliau menjelaskan, pergerakan menyedari perubahan pemerintahan negara dan berhasrat merapatkan kerjasama dengan kerajaan persekutuan.
“Pergerakan melalui Gabungan Parti Sarawak akan memastikan akar umbi terutama rakyat menerima kerajaan baharu sepenuhnya termasuk memahami dengab jelas, apakah hala tuju kerajaan baharu,” katanya.
Menurut Fatimah, di bawah GPS, mereka tetap memastikan hala tuju pergerakan wanita tidak ketinggalan untuk bersama-sama kerajaan persekutuan membantu membela nasib rakyat.
Katanya Pergerakan Wanita PBB bercadang mengadakan kunjungan hormat terhadap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Bagaimanapaun tarikh kunjungan hormat itu belum dapat dipastikan ketika ini tambahan beliau mahu memberi peluang kepada kerajaan persekutuan yang baharu itu stabil.
“Cadangan kunjungan bagi membincangkan aspek pembangunan wanita negeri ini, soal prasarana dan keperluan semasa Sarawak,” katanya.
Hadir sama Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Persekutuan-Negeri dan Pemantauan Projek) Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Datuk Amar Jamilah Anu dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Pergerakan wanita PBB yang lain. -Utusan Borneo Online
|
No comments