Header Ads

Header ADS

Kerajaan Negeri Sarawak Akan Terus Bawa Isu Sekolah Daif Di Sarawak Kepada KPM


KUCHING - Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi akan terus membawa isu sekolah daif di Sarawak kepada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Menterinya, Dato Sri Michael Manyin Jawong (gambar) berkata, beliau mengemukakan semula isu terbabit semasa pertemuan bersama Menteri Pendidikan baharu, Dr Maszlee Malik pada Jumaat lepas.

Menurutnya, beliau pada Julai tahun lepas mengadakan perbincangan bersama Timbalan Perdana Menteri terdahulu serta bekas Menteri Pendidikan. 

"Selepas taklimat dan segalanya mereka telah bersetuju memberi peruntukan RM1 bilion yang diluluskan di bawah Bajet tahun lepas.

"Namun ia masih lagi belum dapat dilaksanakan, maka itu saya sekali lagi membawa isu ini kepada menteri baharu pada pertemuan bersamanya Jumaat lepas," katanya pada sidang media selepas menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) dan 33 buah Sekolah Angkat di PPKS di sini, hari ini.

Manyin berkata, memandangkan apa yang dipersetujui dalam perjanjian berkenaan, peruntukan kewangan itu harus diberikan kepada Sarawak. Katanya, RM1 bilion itu untuk pelaksanaan projek dalam tempoh dua tahun.

Sementara itu, beliau turut membawa isu lain termasuk menggabungkan sekolah yang kecil jumlah pelajarnya selain membina baharu sekolah yang kebanyakan di tebingan sungai.

"Kita mempunyai banyak sekolah yang berdekatan tebingan sungai dan setiap tahun mereka akan terjejas akibat banjir.

"Saya memberitahu kepada menteri supaya memberi keutamaan dengan membina baharu sekolah di lokasi lain dan bukan membaikinya. Saya berharap semua isu sekolah di Sarawak dapat diselesaikan tahun ini," tegasnya. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.