Header Ads

Header ADS

Terserah Kepada PETRONAS Untuk Failkan Kes Tuntutan Minyak Dan Gas Di Mahkamah Tinggi


KUCHING - Terserah kepada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) untuk memfailkan kes tuntutan ke atas minyak dan gas di Sarawak di Mahkamah Tinggi, kata Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Persekutuan-Negeri dan Pemantauan Projek) Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali. 
“Jika Petronas hendak membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi, itu hak mereka, itu prerogatif Petronas. 
“Saya tidak tahu sama ada mereka akan berbuat demikian atau tidak dan saya tidak boleh bercakap bagi pihak mereka,” tegasnya. 
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Majlis Tertinggi Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu dan Wanita Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kediaman Ketua Wanita PBB Dato Sri Fatimah Abdullah di sini, semalam. 
Sharifah Hasidah turut menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak tidak akan akan memfailkan kes itu di Mahkamah Tinggi kerana keputusan Mahkamah Persekutuan pada 22 Jun lalu sudah memadai untuk Sarawak melindungi hak ke atas minyak dan gas menerusi Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958. 
“Tidak, Kerajaan Sarawak tidak akan membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi. Kenapa kita perlu berbuat demikian. Kita telah menang kes in. Apa yang anda mahu kami isytiharkan di Mahkamah Tinggi...tidak ada,” jelasnya. 
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Stampin yang juga Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen Ahad lalu, menasihati Kerajaan Sarawak memfailkan kes itu di Mahkamah Tinggi jika ia serius menuntut semula haknya ke atas minyak dan gas di negeri ini. 
“Kita (Kerajaan Sarawak) tidak mendengar nasihat daripada YB Chong. Kerajaan Sarawak akan membuat keputusan sendiri.
“Setakat ini keputusan Mahkamah Persekutuan memadai untuk melindungi hak-hak kita melalui OMO 1958 di mana kes Petronas telah diketepi dan ditolak. 
“Dengan keputusan Mahkamah Persekutuan itu, maka kita boleh melaksanakan OMO 1958 berkuat kuasa 1 Julai ini, di mana kita boleh mengawal selia aktiviti- aktiviti huluan dalam sempadan negeri Sarawak,” jelasnya. 
Sharifah Hasidah turut menyatakan bahawa Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 dan OMO 1958 tidak bercanggah kerana kedua-dua undang-undang itu dilihat dan dibaca bersama dalam kepentingan Sarawak. 
Ujarnya lagi, OMO 1958 adalah undang-undang yang sah dan terpakai di Sarawak. 
“Apa yang kita mahu ialah Petronas mematuhi undang-undang negeri kerana undang-undang ini adalah sah. 
“Petronas boleh datang ke Sarawak tetapi mereka mesti mematuhi undang-undang negeri iaitu OMO 1958 (dengan keputusan Mahkamah Persekutuan),” katanya. 
Pada 22 Jun lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Petronas untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap Kerajaan Sarawak berhubung hak syarikat itu untuk mengawal selia aktiviti cari gali dan perlombongan minyak dan gas di negeri ini. 

Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Maarop yang merupakan satu-satunya hakim Mahkamah Persekutuan bersidang, menolak permohonan itu selepas memutuskan Mahkamah Persekutuan tidak boleh mendengar perkara itu kerana relif pengisytiharan yang dimohon Petronas tidak termaktub di bawah bidang kuasa Mahkamah Persekutuan tetapi Mahkamah Tinggi. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.