Header Ads

Header ADS

Syarikat Pengorek Pasir Diarah Memberhentikan Kerja Mengorek Pasir - Razi Sitam


KUCHING - Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Betong diarah untuk memberhentikan kerja-kerja pengambilan pasir oleh sebuah syarikat swasta sehingga siasatan punca kehakisan sungai yang menjejaskan Tapak Perkuburan Islam Seruai di Spaoh selesai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohamad Razi Sitam ketika ditemui Utusan Borneo hari ini, berkata beliau memberikan arahan itu selepas menerima aduan daripada orang ramai tentang masalah hakisan yang semakin serius.

“Saya sendiri sudah meninjau keadaan di sana beberapa hari yang lalu, dan telah mngarahkan Jabatan Tanah dan Survei turun padang menyiasat serta menghentikan operasi kerja-kerja pengambilan pasir di Batang Saribas,” kata Razi.

Razi berkata beliau pernah membawa isu hakisan sungai yang menjejaskan kawasan tanah perkuburan Seruai ke sidang Dewan Undangan Negeri memandangkan ia tanah perkuburan utama masyarakat Islam di Saribas.

“Tapak perkuburan itu merupakan satu-satunya tapak perkuburan tertua yang digunakan oleh beberapa buah kampung seperti kampung Bungin, Balingan, Serembang, Mangut, Tanjung Asam, Sebemban, Buda dan Spaoh,” jelas Razi.

“Saya pernah membangkitkan perkara ini dalam sidang DUN untuk diberikan perhatian lanjut kerana kita memahami keluhan rakyat dan tidak mahu timbul kegusaran penduduk kampung akibat hakisan tapak kubur tersebut,” tambahnya lagi.

Menurut Razi, JTS akan memanggil kontraktor berkenaan termasuklah bagi memberhentikan sementara kerja-kerja pengorekan kerana kontraktor itu mempunyai kontrak sehingga tahun 2019 selama tiga tahun.

Siasatan awal JTS mendapati kawasan tapak perkuburan itu didapati berbukit, dan kejadian hakisan itu sudah lama berlaku.


Ia disahkan sendiri oleh penduduk-penduduk kampung yang menyatakan kejadian itu berlaku semenjak lima atau enam tahun lalu.

JTS dalam satu pesanan ringkas kepada Razi yang dikongsikan ADUN itu kepada Utusan Borneo berkata, 

“Aktiviti penyedutan pasir berlaku bukan dari dasar sungai berhampiran tetapi dari tongkang yang berlabuh berhampiran dengan kawasan 'stock file'. Pengambilan pasir dibuat di Batang Saribas dan dicuci di atas tongkang lain sebelum dipam ke darat (stock file). Kedudukan 'stock file' dengan tapak kubur dalam 1km lebih kurang.

JTS berkata lawatan tapak akan diadakan pada hari Rabu ini 27 Jun pada jam 2.30 petang bersama agensi berkaitan termasuk Pejabat Daerah untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas.

“Dalam laporan akhbar hari ini pun penduduk mendakwa hakisan ini memang sudah lama berlaku,” dakwa JTS dalam pesanan ringkas itu. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.