Header Ads

Header ADS

SUPP Gesa Rakyat Sarawak Bersama Kerajaan Negeri Sarawak Dalam Memperjuangkan Hak Sarawak


KUCHING - Tindakan syarikat Petroleum Nasional (Petronas) mendapatkan deklarasi mahkamah ke atas Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 sememangnya sudah dijangka selepas kerajaan diambil alih Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14).
Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Dr Sim Kui Hian berkata inilah sebabnya SUPP mempromosikan kesedaran semasa kempan PRU14 di kalangan rakyat Sarawak mengenai pentingnya membina Sarawak yang kuat untuk menentang senario ini. 
“SUPP tetap dengan pendirian bahawa semua tanah termasuk sumber semula jadi (minyak dan gas) yang terdapat di dasar laut dan bawah tanah di Pelantar Benua Sarawak adalah milik Sarawak dan bukannya hak milik Petronas. 
“Hak tersebut telah ditubuhkan di Perintah Sarawak (Perubahan Sempadan) pada Majlis 1954 yang dibuat pada 24 Jun 1954 dan hak yang sama dipelihara dalam Perlembagaan Persekutuan. 
“Tetapi dengan undang-undang darurat diperkenalkan pada 2012 dan PDA 1974 diluluskan tanpa persetujuan Dewan Undangan Negeri Sarawak, pemilikan minyak dan gas patut dikembalikan kepada Sarawak,” katanya ketika diminta mengulas mengenai tindakan Petronas yang membawa perkara ini ke mahkamah, semalam.
Dr Sim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan menambah, SUPP berjanji akan memperjuangkan hak dan pemilikan ini hingga akhir dalam mengembalikan hak Sarawak ke atas minyak dan gas yang selama ini telah dinafikan haknya.
Ini sejajar dengan sokongan dan kerjasama yang diberikan rakyat kepada SUPP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2016 sekaligus menjadi sebahagian daripada Kerajaan Negeri Sarawak. 
“Kita tidak boleh membenarkan perbadanan berkaitan kerajaan menuntut haknya ke atas kedaulatan kita dalam sumber minyak dan menyalurkan kekayaan kita ke Semenanjung Malaysia lagi. 
“Kita juga berharap semua rakyat Sarawak bersatu untuk menyatakan bantahan kita terhadap dakwaan Petronas dan memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Sarawak untuk mempertahankan hak minyak dan gas kita,” tegas Dr Sim.
Sudah tiba masanya Kerajaan Negeri Sarawak mengambil sikap peduli dan tegas demi memastikan hak Sarawak dipelihara demi untuk generasi Sarawak akan datang. 

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.