Header Ads

Header ADS

Sempurai Nafi Jumlah 400 Ahli PRS Bahagian Bukit Assek Keluar Parti


SIBU - Tindakan lebih 400 ahli Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian Bukit Assek keluar parti kelmarin menimbulkan persoalan dan dinafikan jumlahnya.

Pengerusi PRS Bahagian Dudong Sempurai Petrus Ngelai yang menafikan dakwaan angka tersebut berkata sehingga 3 Disember 2017, PRS Bahagian Bukit Assek hanya mempunyai 640 ahli.

“Jadi, tidak semua ahli parti bertindak keluar parti bersama pengerusinya Duli Sanggau.

“Dalam gambar seperti disiarkan dalam akhbar tempatan tadi (semalam) menunjukkan jumlahnya tidak ramai seperti yang disebutkan itu,” katanya di sini semalam.

Duli dalam kenyataannya menyebut bahawa mereka hilang kepercayaan terhadap Presiden PRS Tan Sri Datuk Amar James Masing seterusnya menggesa beliau meletak jawatan.

“Duli tidak sepatutnya berkata demikian terhadap Masing. Beliau dipilih secara sah oleh parti sebagai presiden melalui Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC).


“Bagi saya, kenyataan sedemikian tidak patut dilemparkan terhadap presiden mahupun parti,” jelasnya.

Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) itu berkata beliau tidak terkejut dengan tindakan Duli serta ahli-ahlinya keluar parti.


“Tindakan keluar parti oleh Duli tidak mengejutkan. Mereka yang rasa tidak setia serta hilang kepercayaan terhadap PRS harus keluar parti dengan cara lebih beradab tanpa menyalahkan pemimpin atasan parti.

“Kami percaya dengan proses demokrasi dan setiap orang berhak menyertai mana-mana persatuan atau parti politik pilihan mereka. 

“Kebebasan ini dijamin dan termaktub dalam perlembagaan kami,” jelasnya.

Bercakap mengenai ahli-ahli parti yang hadir semasa membuat pengumuman keluar parti kelmarin, Sempurai menjelaskan Casper Kayong bukan setiausaha PRS Bukit Assek yang sah kerana beliau hanya menjadi ahli sah pada 3 Disember 2017.


“Sebaliknya, Sulaiman Kunjan adalah setiausaha bahagian yang sah untuk sesi 2016-2019.

“Ketua wanita bahagian yang sah adalah Meni Ayok dan bukan Edan Manan seperti dilaporkan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Edan bukanlah anggota PRS yang sah kerana namanya tidak wujud dalam keanggotaan parti.

Berkenaan dengan Ketua PRS Bukit Assek Winston Kayong, Sempurai menjelaskan bahawa tidak ada sayap pemuda dibentuk di bahagian tersebut. 

“Jadi, Pemuda PRS Bukit Assek tidak pernah mendapat akreditasi oleh ibu pejabat parti dan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS),” katanya. 

Sempurai memberi jaminan PRS di kawasan tengah iaitu bahagian Dudong dan Meradong sentiasa berdiri teguh di belakang Masing dan partinya. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.