See Chee How Ke SPRM Isnin Ini Berhubung Pembelian Pesawat Peninjau Udara DA42M-NG Diamond
KUCHING - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang See Chee How dijangka hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin ini berhubung isu pembelian pesawat peninjau udara, DA42M-NG Diamond.
Malah katanya, beliau mungkin membuat aduan mengenai pembelian pesawat pengawasan udara yang canggih itu jika perlu kerana mendakwa harganya yang dianggap terlalu tinggi.
“Saya tidak tahu sama ada Jabatan Audit Negara dan Sarawak telah mengaudit pembelian pesawat ini.
“Saya juga tidak mengetahui sama ada SPRM telah mengambil kognisi atau notis laporan akhbar sebelum ini dan membuka fail ke atasnya untuk menjalankan siasatan yang diperlukan.
Jika perlu, saya akan membuat aduan untuk membantu siasatan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis berhubung pembelian pesawat peninjau, DA42M-NG Diamond yang digunakan Jabatan Hutan Sarawak (JHS) di Pusat Sehenti Polis di sini, semalam.
Tujuan laporan polis tersebut dibuat agar satu siasatan polis dapat dijalankan mengenai sama ada terdapat individu atau syarikat swasta terlibat dalam transaksi pembelian pesawat itu.
Tambah See yang juga Naib Pengerusi PKR Sarawak, hasil kajian mendapati kerajaan membayar jumlah yang agak besar bagi pesawat buatan Austria tersebut yang diintegrasikan bersama teknologi pencerapan hiperspektral.
“Bagi model pelbagai rangkaian untuk pesawat Diamond seperti yang dicadangkan menteri sebelum ini, ia adalah antara RM3.5 juta hingga RM6 juta. “Maka itu saya menyeru kepada Jabatan Audit sebelum ini untuk mengaudit pembelian pesawat ini yang dikatakan berharga RM35 juta,” katanya.
Sebelum ini, pada Oktober tahun lepas, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika itu Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar mengumumkan bahawa Sarawak akan menjadi yang pertama di negara ini untuk memiliki pesawat peninjau seumpama itu.
Beliau berkata, pesawat bernilai RM35 juta itu akan dihantar kepada kerajaan Sarawak untuk digunakan JHS membuat pemantauan serta dan mengekang aktiviti curi balak di Sarawak sejurus selepas butiran akhir mengenai penyelenggaraan pesawat yang sesuai dengan keperluan negara telah dipersetujui dengan pengeluarnya.
Model pesawat misi khas empat tempat duduk itu dikonfigurasi untuk pengawasan udara selain tujuan pemetaan dan ia dapat memuatkan dua juruteknik dan dua juruterbang dalam setiap misi. -Utusan Borneo Online
No comments