Header Ads

Header ADS

Penduduk Sebuyau Dapat Manfaat Besar Kemudahan Jalan Pesisir


KUCHING - Sebuyau akan mendapat manfaat dengan menjadi laluan utama Jalan Pesisir di Sarawak, kata Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi. Beliau berkata, semakin ramai pengguna jalan raya akan melalui Sebuyau menggunakan jalan tersebut untuk ke destinasi masing-masing. 
Menurutnya, banyak kampung di Sebuyau termasuk Kampung Seruyuk terletak berhampiran dengan Jalan Pesisir, bermakna tanah mereka dijangka menjadi aset penting untuk dibangunkan. 
“Justeru, saya menasihatkan anda semua (penduduk DUN Sebuyau) supaya tidak menjual aset tanah ini kepada pihak luar. Kalau tanah dijual, anda selaku pemilik tanah berada di pihak yang rugi. 
“Lebih-lebih lagi dengan siapnya Jambatan Batang Sadong dan terbaharu, siapnya Jambatan Batang Samarahan adalah pelengkap penting bagi jalan pesisir pantai untuk rakyat berhubung dan meningkatkan taraf sosioekonomi,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa di Kampung Seruyuk, Sebuyau kelmarin. 
Julaihi berkata, pembinaan Jalan Pesisir dan jambatan-jambatan di sepanjang laluan pesisir pantai Sarawak merupakan usaha penting dan berterusan kerajaan Sarawak untuk menyediakan jalan perhubungan di luar bandar. 
“Ini supaya pembangunan kawasan luar bandar sama ada kawasan pesisir pantai atau kawasan pedalaman dapat diseimbangkan dengan pembangunan di kawasan bandar. Itulah harapan dan doa rakyat luar bandar yang sememangnya wajar kita tunaikan segera,” katanya. 
Sehubungan itu, Julaihi yang juga ADUN Sebuyau menaruh harapan agar kerajaan persekutuan dapat meneruskan projek-projek yang diluluskan sebelum ini untuk kawasan pesisir seperti Jambatan Batang Lupar, Jambatan Igan, bangunan sekolah seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebuyau dan banyak lagi. 
“Ini penting untuk meneruskan kesinambungan pembangunan di kawasan pesisir sejajar dengan inisiatif kerajan Sarawak untuk melengkapkan pembinaan jalan pesisir pantai. 
“Ini melibatkan kerja-kerja menaik taraf jalan pesisir dari selatan hingga ke utara Sarawak, membina jaringan jalan terputus dan menggantikan semua kemudahan feri dengan membina jambatan di sepanjang laluannya,” jelasnya. 
Beliau berharap, tiada pihak yang akan cuba mengganggu dan menghalang pelaksanaan pembinaan jalan pesisir kerana ia penting untuk membuka dan membangun kawasan pesisir pantai supaya sosioekonomi rakyat dapat ditingkatkan. 
Terdahulu, beliau menasihati masyarakat Islam supaya menghayati bulan Ramadan dan terus mengukuhkan perpaduan agar menjadi contoh dan dihormati masyarakat lain. 
“Umat Islam juga perlu sentiasa bersedia, bersatu hati dan terus bekerjasama menghadapi pelbagai cabaran sama ada dari dalam atau dari luar bagi mengelak perpecahan dalam kalangan kita kerana perpecahan hanya akan melemah dan merugikan umat Islam itu sendiri,” ujarnya. 

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.