SEB Pantau Rapi Prestasi Bekalan Elektrik Ke Kanowit
KUCHING - Sarawak Energy Berhad (SEB) telah memantau rapi prestasi bekalan elektrik ke Kanowit dan sebarang tindakan dan cabaran berhubung bekalan ke kawasan itu akan ditangani segera.
Ini temasuk penamatan kontraktor yang diberi kuasa untuk memotong dan membersihkan dahan yang menghalang kabel pada April lalu dengan melantik kontraktor baharu pada Mei tahun ini.
Pembersihan dahan pokok secara berterusan perlu dilakukan, malah bekalan elektrik diberhentikan sementara bagi tujuan pembersihan jika perlu atas faktor keselamatan.
SEB memohon maaf kepada pelanggan di Kanowit di atas bekalan elektrik yang sering terganggu untuk tujuan tersebut.
Selain pengurusan membersihkan dahan, SEB juga melaksanakan sistem kerja penguatkuasaan untuk meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik dari Sibu- Kanowit-Nibong Tada-Machan (70 kilometer).
Kabel bekalan yang telah dilakukan di Nibong Tada bermula dari Kanowit ke substesen Mapai telah selesai pada 18 Mei sebelum sambutan Hari Gawai Dayak.
Projek bernilai kira-kira RM500,000 ini adalah usaha untuk meningkatkan keberkesanan dengan menyediakan sumber bekalan tambahan dan mengurangkan jumlah pelanggan yang terjejas.
Rekod SEB menunjukkan kekurangan kekerapan gangguan selepas kerja-kerja tersebut dijalankan.
Bermula pertengahan Mei, dicatatkan empat rekod gangguan bekalan yang disebabkan panahan kilat, kenderaan melanggar tiang elektrik dan angin kuat dan mengambil masa di antara 30 minit sehingga dua jam untuk memulihkan gangguan bekalan elektrik.
Projek seterusnya bernilai RM630,000 bagi membekalkan bekalan elektrik ke Kanowit dijangka siap pada penghujung Julai depan. Pelaksanaan projek itu adalah bagi meningkatkan lagi bekalan tambahan ke Kanowit, Machan, dan kawasan sekitarnya. -Utusan Borneo Online
No comments