Header Ads

Header ADS

Penjual Samosa Berpakaian Anime Kakashi Hatake Tarik Perhatian Pengunjung Bazar Ramadan Serian


KUCHING - Penjual samosa berpakaian anime Kakashi Hatake, salah satu watak animasi siri manga kartun Jepun, ‘Naruto Shippuden’ mengejutkan pengunjung di Bazar Ramadan Serian, petang kelmarin. 
Achmadi Ahmad, 25, merupakan pengusaha samosa sejuk beku bersama rakan sebayanya, Nazukin Ahmad namun yang pada musim Ramadan produk mereka yang sudah siap digoreng akan dijual kepada pelanggan bagi memudahkan mereka berbuka puasa. 
Keghairahan beliau berpakaian sedemikian ketika ditanya pemberita adalah kerana dipujuk rakan-rakan dan katanya, beliau selesa berpakaian demikian sekali gus juga cara beliau menarik pelangan untuk mencuba samosa yang dijualnya. 
“Saya menerima cabaran daripada rakan-rakan termasuk dari Facebook kerana mereka tahu saya mempunyai koleksi pakaian Kakashi. Lagipun, ini caranya saya mempromosikan jualan samosa saya yang kelihatan seperti popia berinti daging atau sardin,” jelasnya. 
Ditanya mengapa Kakashi menjadi idolanya, Achmadi berkata kerana wataknya seperti seorang ninja dan misteri disebabkan wajahnya tidak pernah ditonjolkan, namun mempunyai jiwa yang baik kerana merupakan seorang ‘sensei’ kepada watak-watak lain. 
Pakaian animasi Kakashi Hatake itu, tambahnya dibeli dari ibu kota dengan harga kira-kira RM450. 
Walaupun mungkin tidak bersesuaian dengan cuaca di sini tetapi disebabkan minat mendalam terhadap watak itu sejak kecil, beliau sanggup berhabisan dan menahan kepanasan ketika memakainya. 
“Permintaan berpakaian begini bukan selalu saya tunaikan, tetapi sekiranya mendapat permintaan dan jika ada aktiviti kanak-kanak dan sebagainya boleh dipertimbangkan,” katanya lagi. 
Achmadi mempunyai koleksi kartun animasi yang pelbagai termasuk watak Kakashi Hatake bernilai sekitar RM1,000 dan lain-lain koleksi yang dianggap sangat bermakna dalam hidupnya sejak di bangku sekolah menengah lagi. 
Anak muda itu juga mempunyai kebolehan dalam bidang fotografi dan bermain papan selaju, bagaimanapun berhasrat untuk meneruskan perniagaan samosa sejuk bekunya sehingga berjaya. 
Menerusi perniagaannya itu, beliau berupaya menjana sekitar RM300 hingga RM500 sehari dan kebiasaannya beliau beroperasi dari rumah dan menyediakan perkhidmatan bayaran selepas penghantaran (COD) ke rumah pelanggan. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.