Header Ads

Header ADS

Fazzrudin Bidas Dakwaan Pemuda PBB 'Tiada' Membantu Dalam Isu Krisis Air


KUCHING - Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) membidas dakwaan seorang penulis media sosial yang dikenali Dato Wan Abdillah Edruce yang mempersoalkan ketiadaan Pemuda PBB dalam membantu krisis air yang berlaku di beberapa kawasan di Sarawak.

Timbalan Ketua Pemuda PBB Fazzrudin Abdul Rahman berkata ahli-ahli Pemuda PBB sentiasa berada di lapangan bagi membantu rakyat yang menghadapi krisis air ketika ini.

"Naib Ketua Pemuda PBB YB Aidel (Lariwo) dan Penolong Bendahari Halmi Morshidi bersama Exco-exco dan ketua-ketua cawangan sememangnya membantu rakyat yang menghadapi krisis air di lapangan.

"Bagaimanapun, saya akui kita tidak dapat membantu secara keseluruhan kawasan. Saya memohon maaf bagi pihak Pemuda PBB," katanya dalam entri di facebook hari ini.

Terdahulu, Wan Abdillah yang juga bekas calon Bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak lalu mempersoalkan tiadanya Pemuda PBB dalam membantu rakyat yang menghadapi krisis air. 

"Di manakah Pemuda (PBB) yang gagah perkasa waktu krisis air tok (ini)? Menunggu Bajet? Menunggu arahan? Batang hidung pun tidak nampak.

"Apabila masa pilihan raya, bersuara besar meminta kuota Pemuda sebagai calon. Masa beginilah Pemuda PBB buktikan kesungguhan dalam membantu rakyat," katanya dalam entri di facebook.

Menurut Fazzrudin, Pemuda PBB di Sarawak datangnya daripada pelbagai lapisan sama ada profesional, berniaga sendiri dan sebagainya.

"Walapun mereka ini datangnya daripada pelbagai lapisan dan latar belakang, mereka sanggup berkorban menggunakan wang saku sendiri untuk berjuang demi parti. Malah, ada yang sanggup bergadai barang demi memperjuangkan parti. Saya boleh buktikan itu.

"Pengorbanan yang ditunjukkan mereka ini (Pemuda PBB) semakin memberikan saya semangat untuk terus berjuang demi parti," tegasnya.

Dalam pada itu, Wan Abdillah mendesak agar ahli-ahli Pemuda PBB yang lain untuk turun padang bagi membantu rakyat tanpa perlu menunggu arahan parti atau Ketua Menteri sambil mengakui Ketua Pemuda PBB Gerald Rentap sedang meraikan Gawai. 

Begitupun, Fazzrudin memberi jaminan bahawa Pemuda PBB sememangnya sentiasa berada dekat dengan rakyat dan mendengar keluhan mereka.

"Kami (Pemuda PBB) sentiasa dekat dengan rakyat bagi mendengar keluhan mereka.


"Kita bukan perfect (sempurna), tetapi kita sentiasa berusaha sehabis baik," tambahnya.

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.