Header Ads

Header ADS

Sarawak Harus Berani Dan Tidak Perlu Gentar Dengan Saman Petronas


MIRI - Sarawak tidak perlu gentar dengan saman dibuat Petroliam Nasional Berhad (Petronas), sebaliknya terus berani mempertahankan hak terhadap sumber aslinya sendiri. 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, Sarawak mempunyai sumber minyak dan gas yang hasilnya boleh digunakan untuk memajukan infrastruktur. 
“Rakyat perlu bersatu dan bangkit menyokong usaha Kerajaan Sarawak mempertahankan hak-hak Sarawak yang terkandung dalam perlembagaan termasuk sumber minyak dan gas,” katanya di sini semalam. 
Petronas dalam satu kenyataan memberitahu, mereka telah memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 sebagai undang-undang terpakai bagi industri petroleum di negara termasuk Sarawak. 
Mengulas lanjut, Dennis mempersoal isu ini seolah-olah sengaja dibangkitkan sebaik sahaja kerajaan bertukar tangan. 
“Saya sendiri secara peribadi seolah-olah dapat merasakan terdapat desakan pihak tertentu dalam kes saman ini, mengapa PDA perlu disemak semula ketika ini dan tidak dilakukan semasa pentadbiran kerajaan terdahulu,” tegasnya. 
Menurutnya, tuntutan royalti sebanyak 20 peratus kerajaan negeri terhadap sumber minyak dan gas juga sehingga kini masih belum diselesaikan kerajaan pusat. 
Tegasnya, bayaran royalti lima peratus daripada nilai hasil petroleum yang dibawa keluar dari dalam dan luar pesisir Sarawak oleh Petronas kepada kerajaan negeri seperti yang dipersetujui dalam PDA adalah tidak mencukupi. 
“Bayaran royalti lima peratus kepada negeri ini adalah rendah dan tidak memadai, sebab itu kita mahu kerajaan pusat menunaikan tuntutan bayaran royalti 20 peratus atau lebih kepada Sarawak,” jelasnya. 
Sehubungan itu, Dennis yakin kerajaan negeri akan melakukan sebaik mungkin bagi mempertahankan hak Sarawak daripada dirobek sesuka hati oleh syarikat minyak nasional itu. 
“Kita amat menaruh harapan tinggi agar keputusan positif lebih memihak kepada Sarawak bagi membolehkan kerajaan negeri mengurus sendiri sumber minyak dan gas menerusi Petros,” jelasnya. 

Bahkan, hasil daripada industri minyak dan gas juga boleh digunakan untuk merancakkan projek pembangunan infrastruktur untuk kesejahteraan rakyat Sarawak sendiri. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.