Rakyat Sarawak Diseru berdiri Teguh Menyokong Kerajaan Pertahankan Integriti Wilayah Sarawak
KUCHING - Semua rakyat negeri ini perlu berdiri teguh menyokong kerajaan dalam mempertahankan integriti minyak dan gas serta wilayah Sarawak.
Menurut Pengerusi Parti Reformasi Sarawak Lina Soo, tidak perlu untuk mana-mana pihak menyalahkan sesiapa bagi mewujudkan perpecahan dan gangguan.
“Sekarang adalah masa untuk semua rakyat berdiri di belakang Kerajaan Sarawak jika kerajaan PH (Pakatan Harapan) belum bersedia meminda PDA (Akta Pembangunan Petroleum 1974) dan TSA (Akta Wilayah Laut 2012) bagi mengecualikan Sarawak.
“Ini menunjukkan keikhlasan kerajaan PH untuk membangunkan Sarawak dengan memulangkan kembali minyak dan gas kita,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Soo berkata, PH Sarawak juga perlu membuktikan bahawa mereka benar-benar ikhlas serta akan berjuang berhabis-habisan mempertahankan integriti minyak dan wilayah negeri ini.
Jika PH Sarawak tidak dapat meyakinkan PH persekutuan katanya, maka mereka juga sama seperti Barisan Nasional (BN) dahulu apabila tidak dapat membantah ketua mereka di Semenanjung Malaysia.
“Desakan PH untuk memberi 20 peratus bermakna mereka mahu menyerahkan minyak kita secara mutlak kepada persekutuan dengan mengatakan PDA tidak dapat dicabar dan sah.
“Mereka tidak berjuang untuk mempertahankan integriti minyak dan wilayah Sarawak,” katanya.
Menurut beliau, tindakan undang-undang yang diambil Petronas perlu dijadikan seruan untuk menyatukan semua rakyat negeri ini bagi mencabar tindakan kerajaan persekutuan yang membuli dan mengeksploitasi Sarawak.
Katanya, tindakan syarikat petroleum negara tersebut juga akan mendedahkan siapa anak jati Sarawak sebenar yang sanggup memperjuangkan hak dan integriti negeri ini.
“Jika Sarawak ditewaskan di Mahkamah Persekutuan, kita akan kehabisan semua sumber dan siap sedialah untuk ke Mahkamah Britain bagi mencabar Persekutuan Malaysia yang jelas menyatakan semua hak dan kuasa Sarawak ke atas sumber minyak dan sempadan wilayah kita,” katanya. -Utusan Borneo Online
No comments