Header Ads

Header ADS

GST 0% Harga Tidak Berubah KPDNKK Digesa Buat Tinjauan Harga Di Kawasan Pedalaman


MIRI - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) digesa turun padang memantau pelaksanaan sifar peratus (0%) Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di kawasan luar bandar. 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, hal ini kerana harga kebanyakan barang di kawasan pedalaman tidak menunjukkan perbezaan sejak 0% GST dikuatkuasakan 1 Jun lalu. 
“Penguat kuasa KPDNKK digesa tidak hanya membuat tinjauan trend harga barang di pasar raya, kedai runcit dan pasar-pasar basah di bandar sebaliknya juga di pedalaman,” katanya kepada Utusan Borneo semalam. 
Dennis mengakui harga barang di kawasan pedalaman kekal sama meskipun GST dimansuhkan bermula 1 Jun dan perkara ini perlu diambil perhatian pihak KPDNKK. 
“Kita tidak mahu pemansuhan sifar GST ini hanya berlaku di bandar sedangkan di kawasan pedalaman dan luar bandar, harga masih kekal dan mahal sekali gus membebankan rakyat,” tegasnya. 
Tambah beliau, sepatutnya harga barang lebih murah dan berpatutan selepas ketiadaan GST namun perkara itu tidak berlaku sebagaimana yang diinginkan rakyat. 
Dennis mengakui sering menerima kritikan dan cemuhan dengan kenyataannya tentang GST tidak memberi kesan kepada penduduk luar bandar. 
Namun pihak yang sering melontarkan fitnah dan tohmahan terhadapnya ketika ini berdiam diri selepas kerajaan Pakatan Harapan tetap meneruskan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) September nanti. 
“Pelaksanaan sifar GST semata-mata tidak akan menyelesaikan kenaikan kos sara hidup rakyat tanpa mekanisme jangka panjang.


“Pengenalan semula SST sebanyak 10 peratus pada September nanti pasti akan menyaksikan peningkatan semula harga barang dan perkhidmatan,” katanya. 

Secara logiknya menurut Dennis, tidak ada mana-mana pengilang pun yang bersedia menanggung kos SST bersendirian tanpa melepaskan kepada pengguna. 

“Masalah kenaikan harga bukan benda baharu, dulu pun kita pernah mengalami masalah kenaikan harga barang sebelum wujudnya GST.

“Sehubungan itu, kita mencabar kerajaan Pakatan Harapan menurunkan harga barangan sebelum pelaksanaan GST tiga tahun lalu,” katanya. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.