Sarawak Batal Tandatangani Kontrak Nicolas Alejandro
KUCHING - Skuad Sarawak akan menamatkan baki perlawanan Liga Premier 2018 dengan hanya tiga pemain import selepas Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) membatalkan hasrat untuk menandatangani kontrak import baharu, Nicolas Alejandro.
Presiden FAS, Datuk Posa Majais memberitahu bahawa pembelian tonggak tengah dari Argentina itu pada jendela perpindahan pemain (Jun) hanya akan merugikan FAS memandangkan saingan Liga Premier 2018 akan berakhir tidak lama lagi.
“FAS akan menanggung kerugian jika menandatangani kontrak dengan Nicolas sekarang kerana Liga Premier 2018 akan berakhir pada Julai depan.
“Bayangkan, kita perlu membayar yuran perpindahan dalam jumlah yang besar namun khidmat beliau hanya dapat digunakan sekejap sahaja,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Posa menambah, beliau telah berbincang dengan Ketua Jurulatih, Ian Andrew Gillan untuk mengguna pakai pemain sedia ada sehingga kempen berakhir bulan depan.
Menurutnya, skuad Sarawak masih mampu memberikan saingan dan bangkit semula jika semua pemain membuktikan kemampuan masing- masing.
Nicolas menjadi calon Ian untuk menggantikan Nebojse Marinkovic yang digugurkan FAS kerana kurang menyerlah sepanjang musim ini.
Dengan pengguguran Nebojse, Sarawak kini hanya bergantung harap dengan tiga tonggak import iaitu Mateo Roskam, Milos Raickovic dan Kim Chi-Gon.
Setakat ini, FAS hanya menambat pemain remaja tempatan, Gibson Billy yang bermain di posisi serangan.
Sarawak akan meneruskan kempen menentang MISC-MIFA pada 9 Jun ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Skuad Sarawak kini menduduki tangga keenam dengan mengumpul 15 mata daripada 13 perlawanan. -Utusan Borneo Online
No comments