Nasib Balu Norliza Tara Dan 4 Orang Anaknya Kini Terbela
MIRI - Nasib seorang balu, Norliza Tara bersama empat anaknya yang tinggal di Kampung Bakam akhirnya terbela apabila banyak pihak tampil meringankan beban keluarga berkenaan.
Badan bukan kerajaan terdiri daripada kelab dan persatuan telah bergabung tenaga untuk mengumpul sumbangan berupa barangan keperluan asas untuk diserahkan kepada keluarga Norliza.
Ia membabitkan Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) SK Anchi, Permata Ummie, Gabungan Kelab Motosikal Night Riders dan Fasha Cafe. Barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, telur, milo, sumbangan duit serta pakaian turut diserahkan kepada Norliza sekeluarga.
Norliza tinggal bersama empat anaknya serta menjaga dua lagi anak adiknya di sebuah rumah usang selepas kehilangan suami (seorang mualaf) yang ditimpa kemalangan pada 2014.
Sejak itu, Norliza cuma mendapat bantuan bulanan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), namun ia tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian keluarga itu.
Pada masa sama, keadaan rumahnya yang sudah usang dan daif menuntut diperbaiki segera bagi menjamin keselamatan penghuninya.
Kisah Norliza Tara yang viral dalam media sosial turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni, ADUN Lambir Ripin Lamat dan Timbalan Datuk Bandar Julaihi Mohamad.
Kedua-dua wakil rakyat terbabit hadir bersama pegawai Tabung Baitulmal Sarawak Miri, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kompleks Kebajikan Hamidah bagi melawat keadaan keluarga malang terbabit.
Menurut Lukanisman, Norliza telah memohon untuk mendapatkan bantuan rumah, namun ketika ini semua projek di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar ditangguhkan.
“Saya amat berharap kerajaan pusat meneruskan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) agar golongan layak seperti Puan Norliza ini mendapat bantuan sewajarnya,” katanya.
Lukanisman juga berkata, pihaknya akan mempertimbangkan untuk memperbaiki rumah berkenaan, sementara pihak TBS Miri juga telah menyumbangkan bantuan fidyah. -Utusan Borneo Online
No comments