Header Ads

Header ADS

3 Maut Dalam Kemalangan Tragedis Di Jalan Tatau-Bintulu


BINTULU - Tiga maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah kenderaan lain di Kilometer 6 Jalan Tatau-Bintulu pada jam 1.45 petang semalam.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Bakie anak Ladin, 33 tahun (pemandu) dari Rumah Dano Sungai Sangan Tatau dan dua penumpang, Jeanety Liah Lana anak Lily, 8 tahun (Rumah Chupong Sungai Sangan Tatau) serta Sai Imong. 


Hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu melibatkan tiga kenderaan.


“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan pertama (kereta Proton Wira) dari arah Bintulu menuju ke Tatau telah hilang kawalan ketika melalui satu selekoh dan berselisih dengan sebuah kenderaan lain dari Tatau menuju ke Bintulu dan bertembung dengan sebuah lagi kenderaan yang mengekori di belakang kenderaan yang menghala ke Bintulu tersebut,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini semalam.

Beliau berkata, kemalangan tersebut menyebabkan pemandu dan dua penumpang kenderaan pertama (kereta Proton Wira) meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang lagi penumpang mengalami cedera parah di bahagian muka dan kaki kanan.

Katanya, pemandu kenderaan kedua (kereta Toyota Camry) tidak mengalami sebarang kecederaan manakala 3 orang penumpangnya mengalami cedera ringan.
Manakala, pemandu bersama 3 orang penumpang kenderaan ketiga (Proton Exora) tidak mengalami sebarang kecederaan. 
“Ketiga- tiga mangsa yang disahkan meninggal dunia oleh paramedik di tempat kejadian telah dibawa ke rumah mayat Hospital Bintulu,” jelasnya.
Tiga penumpang kenderaan kedua yang cedera telah dibawa ke Klinik Tatau sebelum dirujuk ke Hospital Bintulu untuk tindakan lanjut.
Semasa kejadian keadaan cuaca baik dan cerah. 
Katanya, kes kemalangan terbabit disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.