Header Ads

Header ADS

Rizab Sarawak Milik Rakyat Sarawak Bukan Milik PRS Atau Masing


KUCHING - Rizab Sarawak adalah milik rakyat Sarawak, bukan Gabungan Parti Sarawak (GPS) atau mana-mana parti politik.

Sekretariat Parti Rakyat Bersatu (UPP) Pusat menerusi kenyataan akhbar semalam berkata, rizab negeri telah diwujudkan selama beberapa dekad dan disimpan bagi memastikan keselamatan kewangan untuk generasi masa depan.

“Kami merujuk kepada kenyataan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing iaitu rizab negeri Sarawak berjumlah RM31 bilion sepatutnya dibelanja oleh kerajaan GPS sekarang untuk ‘memenangi hati rakyat Sarawak’ dan ‘ini sudah tentu memastikan GPS terus berkuasa selepas pilihan raya.’

“Kami sangat terkejut Masing selaku Timbalan Ketua Menteri boleh membuat kenyataan tidak bertanggungjawab seperti itu.

“Dengan rasa penuh hormat kepada Masing, cadangan itu tidak masuk akal, tidak sepatutnya daripada mana-mana pegawai negeri, apatah lagi Timbalan Ketua Menteri.

"Rizab ini bukan dana pilihan raya untuk memastikan GPS kekal berkuasa selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Mana-mana ahli politik sama ada dari GPS, Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN) yang fikir dia boleh membelanjakan masa depan anak-anak kita, pasti akan kalah pada PRN nanti,” katanya.

Menurut UPP, jika kerajaan mempertimbangkan cadangan untuk membelanjakan kesemua rizab negeri sebelum PRN Ke-12 (2021), penarafan kewangan Sarawak dalam komuniti antarabangsa akan terjejas.

“Kami meminta Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menolak secara terang-terangan cadangan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing itu dan mengisytiharkan rizab negeri akan dipelihara serta dilindungi oleh kerajaan GPS,” tegasnya.

Malam Ahad lepas, Masing ketika berucap pada Majlis Ngilai Tikai 2018 anjuran Parti Rakyat Sarawak (PRS) berkata, kerajaan Sarawak mesti membelanjakan rizabnya untuk membangunkan infrastruktur dalam tempoh tiga tahun ini.

Katanya, jika rizab itu tidak digunakan bagi tujuan pembangunan untuk rakyat, parti politik yang membentuk kerajaan Sarawak hari ini boleh kalah pada PRN akan datang.

“Kita (Sarawak) mempunyai duit rizab berjumlah RM31 bilion, jika duit ini tidak dibelanjakan bagi tujuan pembangunan Sarawak, kita (kerajaan hari ini) mungkin kalah pada PRN Ke-12 nanti.

“Kerajaan yang mengambil alih kuasa, akan membelanjakan duit itu untuk membangunkan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik yang menunjukkan mereka lebih baik daripada kita (kerajaan sekarang),” kata Masing. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.