Header Ads

Header ADS

Syarat PRS Jadikan GPS Sebagai Satu Parti Dilihat Tidak Realistik


KUCHING - Syarat-syarat yang diletakkan oleh Parti Rakyat Sarawak (PRS) untuk menjadikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) satu parti politik pelbagai kaum dilihat tidak realistik ketika ini.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, perkara yang mungkin perlu dilakukan ialah penstrukturan semula GPS kerana ia sememangnya satu platform untuk pelbagai kaum.

“Saya tidak fikir PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) akan bersetuju dengan syarat-syarat itu terutamanya apa yang diminta Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing supaya PBB atau mana-mana parti tidak mendominasi parti lain.

“Jadi (saya) tidak tahu apa motif atau agenda beliau (Masing) kerana seolah-olah PRS sudah ditolak oleh rakyat yang terbukti pada PRU14 (Pilihan Raya Umum ke 14) lalu, parti itu kehilangan tiga daripada enam yang dipertandingkan,” katanya kepada sebuah akhbar tempatan Utusan Borneo di sini, semalam.

Jeniri berkata, untuk membuktikan idea itu betul-betul dapat dilakukan atau tidak, PRS perlu menterjemahkannya sendiri dengan parti itu sebagai badan induk dan cuba melakukannya di luar GPS.

Beliau turut mempersoalkan sama ada tindakan Masing itu bertujuan untuk menyelamatkan dirinya serta parti dengan mencari alasan lain daripada kelemahan yang telah berlaku.

“Masing mengatakan beliau tidak ‘merungut’ terhadap PBB tetapi apabila mengatakan UMNO mendominasi, sebenarnya ia secara tidak langsung menggambarkan PBB juga.

“Bagi saya, Masing secara tidak langsung menempelak apa yang berlaku dalam GPS dengan PBB selama ini sebagai parti dominan. Sudah tentu PBB tidak bersetuju, kalau meletakkan Masing di kedudukan itu, belum pasti beliau mahu,” katanya.

Menurut Jeniri, perkara yang penting ketika ini ialah memastikan survival parti dan GPS kerana dalam kedudukan sekarang, PBB dilihat tidak berdepan masalah.

“Yang bermasalah sekarang ialah PRS, mungkin sebab itu Masing mengemukakan idea-idea ini untuk menyelamatkan diri dan parti.

“Itu adalah tradisinya, yang sekian lama dan beliau (Masing) perlu akur kalau masih mahu kekal dalam GPS. Harus diingat, PBB adalah parti pelbagai kaum, semua pribumi ada di dalamnya, berlainan sedikit dengan PRS,” tambahnya.

Jeniri berkata demikian apabila diminta mengulas empat syarat diletakkan PRS untuk menjadikan GPS satu parti pelbagai kaum bagi memastikannya diterima rakyat.

Selain menetapkan tiada dominasi parti lebih besar terhadap parti lain yang lebih kecil, PRS mahu perkhidmatan awam negeri distruktur semula lebih-lebih lagi dari segi pengambilan pekerja yang lebih menggambarkan keseimbangan posisi kaum.

Dua lagi syarat diletakkan PRS ialah penyelesaian isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dengan lebih baik dan peruntukan tahunan bagi pertubuhan mewakili agama bukan Islam di Sarawak.

Masing berkata, syarat-syarat itu akan memastikan GPS tidak mengikut struktur Barisan Nasional (BN) sebelum ini iaitu UMNO mendominasi parti komponen yang lebih kecil sehingga suara dan masalah parti lain di dalam perikatan itu tidak didengari.

Beliau berkata, BN kalah pada PRU14 lalu bukan kerana ia tidak baik, tetapi ada parti iaitu UMNO mendominasi parti-parti lain.

“Dengan itu, GPS tidak boleh membenarkan parti yang lebih besar mendominasi dan PRS tidak mahu satu parti mempunyai lebih dari separuh ADUN. Sekarang kita (Sarawak) ada 82,” katanya.

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.