Header Ads

Header ADS

Rakyat Sarawak Digesa Bersama Kerajaan Negeri Sarawak Pertahan Hak Sarawak


MIRI - Rakyat Sarawak tanpa mengira fahaman politik dan latar belakang harus meletakkan keutamaan untuk mempertahankan hak dalam saman difailkan Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni berkata, bagi mencapai tujuan itu, Sarawak memerlukan golongan profesional, peguam, ahli politik dan sokongan rakyat untuk memenangi kes itu.

“Kita sepatutnya bersatu hati tanpa mengira ideologi parti-parti politik kerana isu ini menyentuh hak-hak Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya selepas menerima kunjungan hormat Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) di pejabatnya di Piasau semalam.

Beliau bertegas adalah amat penting kerajaan negeri memenangi kes saman ini kerana Sarawak mempunyai kredibiliti dan kemampuan mentadbir sendiri sumber minyak dan gas.
Sebagai ahli parlimen muda, beliau turut menerima banyak maklum balas daripada rakyat Sarawak yang menyokong kerajaan menuntut hak-hak Sarawak dalam MA63.

“Ramai yang menyalurkan dan berkongsi pendapat mereka dalam media sosial tentang isu saman Petronas dan rata-ratanya mempertahankan hak Sarawak,” jelasnya.

Beliau berkata, Sarawak tidak mahu bersaing dengan mana-mana pihak atau negeri lain tetapi hanya mahu semua haknya seperti yang termaktub dalam MA63 dikembalikan, termasuk soal minyak dan gas.

“Saya amat berharap keputusan lebih memihak kepada Sarawak kerana ia adalah hak yang perlu diberi keutamaan kerajaan pusat.

“Kerajaan Pakatan Harapan juga perlu menunaikan janji mereka untuk menyerahkan tuntutan 20 peratus royalti minyak pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu,” jelasnya.

Kerajaan negeri katanya, akan melakukan segalanya dalam kuasa yang dimiliki mengikut prinsip kedaulatan undang-undang bagi mempertahankan hak dalam saman Petronas.

Petronas dalam kenyataannya memberitahu mereka telah memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 sebagai undang-undang terpakai bagi industri petroleum di negara termasuk Sarawak. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.