Header Ads

Header ADS

Projek Bandaraya Baharu Langkawi Masih Sah - Ting Pek Khiing


KUCHING - Projek Bandaraya Baharu Langkawi yang dicadangkan masih sah dan akan dimulakan tidak lama lagi walau apapun kenyataan dikeluarkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir baru-baru ini. 
Ahli perniagaan Tan Sri Ting Pek Khiing semalam menafikan apa yang dikatakan Mukhriz mengenai projek bernilai RM30 bilion dengan menunjukkan bahawa Menteri Besar itu mungkin ‘terlupa’ tentang cadangan projek tersebut. 
Beliau menegaskan projek itu ‘masih sah’ dan menceritakan tentang bagaimana beliau menghabiskan 25 tahun merancang projek itu dan mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa. 
“Saya merancang projek itu bersama dengan Perdana Menteri dan juga kerajaan negeri (Kedah) untuk membangunkan Langkawi sebagai Dubai kedua kerana Langkawi mempunyai keadaan seperti Dubai. 
“Tiada kilang di sekitar Langkawi, tiada pencemaran dan udara segar. Antara projek utama ini ialah 30,000 unit apartmen mewah tingkat tinggi,” katanya pada satu sidang media yang turut dihadiri anaknya, Michael Ting di sini, semalam. 
Menurut Ting, para pelabur asing datang dari Rusia, Perancis dan negara-negara lain di seluruh dunia. 
Beliau mendakwa pelabur asing sangat berminat dengan projek itu kerana mereka telah melihat kejayaan Dubai, manakala kos pembangunan di Langkawi akan menjadi satu perempat daripada di Dubai. 
Ting berkata, beliau mendapat kelulusan pihak berkuasa termasuk Pihak Berkuasa Pembangunan Langkawi (LADA) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Malaysia pada 2013 dan 2016. 
“Saya mempunyai semua dokumen di sini, saya fikir beliau (Mukhriz) terlupa dan itulah sebabnya saya mahu menunjukkan mereka sekarang, dan saya akan bawa kepadanya,” katanya. 
Mengenai kenyataan Mukhriz berkata projek itu tidak dipertimbangkan oleh kerajaan negeri Kedah dan cadangan asalnya tidak lagi dianggap sah, Ting menjawab dengan mengatakan bahawa beliau akan menyerahkan cadangan projek kepada kerajaan negeri Kedah untuk mendapatkan kelulusan akhir. 
Ting menegaskan beliau mempunyai dokumen-dokumen yang diperlukan untuk projek itu dan beliau membuat pengumuman itu. Katanya, beliau akan segera terbang ke Kedah untuk mengemukakan dokumen itu kepada kerajaan negeri di sana. 
“Beliau (Mukhriz) sebelum ini tidak di pejabat dan sekarang telah kembali. Saya membuat pengumuman ini sekarang dan projek ini akan dimulakan tidak lama lagi. 
“Tidak perlu mempersoalkan semua ini sekarang, projek itu masih sah jika tidak untuk apa saya berada di sini. Saya mahu menjelaskan perkara yang sangat penting, saya tidak perlu berdebat dengannya (Mukhriz), ini adalah yang terbaharu (cadangan projek),”tambah Ting. 
Ditanya penjelasan mengenai status kewangannya, beliau berkata: “Saya tidak memerlukan wang untuk melakukan perkara ini, pelabur membayar wang itu, saya menggunakan mata dan mulut saya untuk melakukannya kerana saya seorang penasihat kepada projek. “ 
Beliau kemudian menunjukkan kertas cadangan projek yang meliputi ‘Mahsuri City Langkawi - Dataran Langkawi’ diikuti oleh ‘Pemaju: Langkasuma Marina Development Sdn Bhd’ dengan alamat tempatan (Kuching) di bahagian bawahnya. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.