Header Ads

Header ADS

Presiden SUPP Kesal Atas Tindakan Pemimpin SUPP Cawangan Dudong


KUCHING - Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Dr Sim Kui Hian kesal dengan tindakan lima pemimpin mereka dari Cawangan Dudong yang membuat kenyataan terbuka menggesa perletakan jawatan Setiausaha Agung Datuk Sebastian Ting.

Dr Sim berkata, tindakan tidak berdisiplin kesemua pemimpin berkenaan jelas menunjukkan mereka lebih mementingkan kepentingan diri daripada parti. 

"Saya rasa amat sedih dengan tindakan mereka kerana membincangkan masalah dalaman parti menerusi akhbar dan bukannya menerusi parti.

"Saya telah ke Sibu berjumpa dengan mereka tetapi mereka tidak berkata apa-apa sebaliknya membuat kenyataan menerusi akhbar untuk kepentingan diri," katanya ketika ditemui pemberita hari ini selepas upacara menaikkan bendera parti di ibu pejabat parti di sini sempena ulang tahun ke-59 SUPP.

Tambah Dr Sim, tindakan tersebut hanya akan menambahkan pergolakan dalam parti apatah lagi baru mengalami kekalahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas.

"Kita tidak mahu pertelingkahan dalaman parti menjadi pertelingkahan umum. Apa yang patut kita lakukan sekarang ialah apa yang dapat kita lakukan untuk negeri dan rakyat Sarawak dan bukannya untuk pembangkang atau diri kita sendiri," tegasnya.

Dr Sim bagaimanapun berkata, parti belum membincangkan untuk mengambil tindakan disiplin ke atas kesemua lima pemimpin mereka dari Cawangan Dudong yang dipengerusikan Wong Chin Yong.

Beliau pada masa yang sama menggesa semua ahli SUPP supaya kekal bersatu dan fokus dalam perjuangan asal mereka 59 dahulu hingga kini iaitu mengutamakan kepentingan negeri dan rakyat Sarawak. -Utusan Borneo

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.