Pertembungan PM Dengan Agong Dalam Isu Pelantikan Peguam Negara Akan Tercetusnya Krisis Perlembagaan
KUALA LUMPUR - Seorang pakar perundangan berharap polemik pelantikan Peguam Negara baharu, Tommy Thomas, tidak mencetuskan krisis yang lebih besar.
Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz, berkata lebih membimbangkan, pertembungan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dengan Yang di-Pertuan Agong dalam isu pelantikan Thomas ialah kemungkinan tercetusnya krisis Perlembagaan
Semalam, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja mengeluarkan kenyataan media bahawa Majlis Raja-Raja sudah mengeluarkan persilaan untuk semua Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja berbincang hal berkaitan pemecatan dan pelantikan Peguam Negara.
Sebelum ini, Dr Mahathir sudah menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, berhubung penamatan khidmat Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali dan menamakan Thomas sebagai pengganti.
Bagaimanapun, tiada maklum balas diterima, manakala media melaporkan bahawa, difahamkan pihak istana tidak memperkenankan pemilihan Thomas sebagai Peguam Negara baharu.
Menurut Pensyarah Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) itu, perbincangan Raja-Raja Melayu esok pasti dengan hasrat untuk mencari persetujuan dan resolusi terbaik berhubung keputusan Putrajaya mahu melantik Thomas.
Katanya, walaupun Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan hanya menyatakan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk melantik seorang yang layak sebagai Peguam Negara dan tidak menyebut peranan Majlis Raja-Raja, baginda mempunyai peranan dalam menghadapi kemelut terbaharu ini.
Beliau berkata, dalam pelantikan Peguam Negara, Perkara 145 tidak menyebut mengenai rundingan bersama Majlis Raja-Raja.
"Namun, ini tidak bermakna Majlis Raja-Raja tidak perlu mengambil peduli langsung. Ini kerana suatu tindakan yang diambil oleh Yang di-Pertuan Agong akan sekali gus mendatangkan kesan terhadap keseluruhan dan masa depan institusi beraja di negara kita.
"Justeru, atas dasar ini, Majlis Raja-Raja perlu bersidang dan berbincang. Yang di-Pertuan Agong juga perlu secara bijaksana mengambil pandangan ahli Majlis Raja-Raja dan menerima apa saja pemuafakatan yang dicapai esok," katanya.
Dr Syamrahayu juga berkata, kenyataan Dr Mahathir berhubung pemilihan Thomas kelihatan tegas dengan menyatakan bahawa penyelesaian akan berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan, yakni Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak atas nasihat.
"Saya melihat bahawa kontroversi ini bukan sekadar membabitkan tafsiran Perlembagaan berhubung maksud perkataan nasihat dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan. Kepada Perdana Menteri, persoalan siapa yang layak dan siapa yang patut dilantik sebagai Peguam Negara bukan isu kepada beliau, malah beliau sangat yakin dengan calon yang sudah dinamakan.
"Justeru, dalam bingkai yang lebih luas, saya dapati kontroversi ini adalah pertembungan antara sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang diamalkan negara kita. Ia mungkin boleh diistilahkan sebagai 'krisis'.
"Ini adalah perkara teras yang perlu dibincangkan secara teliti dengan sewajarnya oleh Majlis Raja-Raja. Walaupun mungkin dalam keadaan semasa ini belum boleh dipanggil sebagai krisis Perlembagaan, tetapi krisis sudah mula berputik.
"Justeru, tanpa tindakan sewajarnya oleh semua pihak, termasuk Majlis Raja-Raja atau pihak berkaitan, ia akan mencetuskan krisis Perlembagaan yang lebih serius," katanya. -Berita Harian
No comments