Persiapan Aidilfitri Sebuah Keluarga Musnah Dalam Kebakaran Di Kampung Serpan Laut
ASAJAYA - Persiapan Aidilfitri sebuah keluarga musnah apabila rumah mereka di Kampung Serpan Laut musnah dalam satu kebakaran di sini, awal pagi semalam.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran yang berlaku jam 4 pagi itu apabila semua penghuni tidak berada di rumah.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak Tiong Ling Hii berkata, penghuni rumah itu dikatakan bermalam di rumah saudara semasa kejadian.
“Kami menerima panggilan pada jam 4.06 pagi sebelum mengatur gerak anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, kami mendapati sebuah rumah jenis separa kekal telah terbakar 100 peratus,” katanya.
Tiong turut memaklumkan operasi memadamkan api turut dibantu penduduk kampung.
Difahamkan, rumah tersebut didiami empat individu terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan.
Bomba katanya, masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran selain menganggarkan jumlah kerugian.
No comments