Header Ads

Header ADS

Persatuan Peguam Bela Sarawak Wujud Pasukan Petugas Khas Teliti Isu Berkaitan Kuasa Autonomi


PETRAJAYA - Persatuan Peguam Bela Sarawak (AAS) akan mewujudkan satu pasukan petugas khas bagi meneliti isu berkaitan kuasa autonomi negeri serta beberapa perkara lain.
Presidennya, Ranbir Singh Sangha, yang akan mengetuai pasukan petugas khas itu, berkata pihaknya akan membantu Kerajaan Sarawak untuk mengembalikan hak negeri itu berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Pasukan itu akan bersedia (ditubuhkan secara rasmi) pagi esok dan terdiri daripada 10 peguam berpengalaman yang sangat berminat dengan MA63.
"Kami akan melakukan yang terbaik bagi memastikan hak negeri ini yang terhakis sejak bertahun lalu, dikembalikan kepada Sarawak.
"Kami bertegas dengan pendirian kami dan menjalankan tugas ini secara percuma. Kami akan berjuang habis-habisan untuk Sarawak," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat khas di kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Ranbir bagaimanapun enggan mengulas mengenai permohonan mahkamah difailkan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS), namun memberi jaminan pasukan petugas khas itu akan membantu kerajaan negeri serta berkomunikasi dengan Jabatan Peguam Besar Sarawak.
Sementara itu, Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek Sarawak, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, berkata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, bersetuju dengan penubuhan pasukan petugas khas berkenaan.
"Kami gembira kerana semua pihak bersatu hari ini, di mana kita mengetepikan kepentingan politik dan berkongsi tujuan yang sama, iaitu berjuang untuk hak Sarawak.
"Kami ada peguam daripada kedua-dua pihak, termasuk pemimpin Pakatan Harapan untuk berkongsi kepakaran dan pengetahuan untuk membantu kerajaan negeri," katanya.
Terdahulu, Abang Johari mengadakan mesyuarat bersama lebih 50 peguam selama dua jam, bagi berbincang dan berkongsi pandangan berhubung permohonan difailkan PETRONAS di Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan pengisytiharan mengenai bahawa syarikat minyak negara itu sebagai pemilik eksklusif sumber petroleum, serta pengawal selia industri huluan di seluruh Malaysia, termasuk di Sarawak.
PETRONAS juga dilaporkan mahu mendapatkan pengisytiharan mengenai Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) sebagai undang-undang terpakai bagi industri petroleum di Malaysia.
Syarikat itu percaya penentuan oleh Mahkamah Persekutuan akan membantu memberikan kejelasan mengenai hak dan kedudukannya di bawah PDA.
Sharifah Hasidah berkata, Sarawak akan memutuskan tindakan selanjutnya selepas sesi pendengaran pada 12 Jun di Putrajaya.
"Kami akan membuat keputusan selepas itu. Perkara utama ialah kami mendapat sokongan kuat daripada peguam di Sarawak, khususnya AAS," katanya. -BH Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.