Header Ads

Header ADS

Jambatan Batang Samarahan Kini Sudah Boleh Digunakan


KOTA SAMARAHAN - Penantian penduduk di Bahagian Samarahan berhubung dengan siapnya Jambatan Batang Samarahan akhirnya berakhir apabila jambatan tersebut kini boleh digunakan secara rasminya pada hari ini.
Majlis perasmian pembukaan laluan trafik Jambatan Batang Samarahan telah disempurnakan oleh Menteri Muda Jalan Persisir Datuk Julaihi Narawi di sini pagi tadi. 
"Jambatan Batang Samarahan kini boleh digunakan oleh pengguna jalan raya khususnya penduduk di Bahagian Samarahan ini. 
"Ini adalah antara jambatan yang menjadi pelengkap kepada jalan persisir yang akan memberi manfaat kepada penduduk luar bandar khususnya kepada penduduk yang berulang alik dari daerah Asajaya ke Kuching," katanya kepada pemberita selepas merasmikan jambatan itu di sini.
Hadir sama Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang, Ahli Dewan Undangan Negeri Sadong Jaya Aidel Lariwoo dan Residen Bahagian Samarahan Ibrahim Lumpu. 
Menurut Julaihi, siapnya jambatan itu sekaligus akan membantu menaik taraf sosioekonomi penduduk di kawasan itu yang sekian lama menunggu saat ini.
"Kita akan teruskan usaha membangunkan kawasan luar bandar dengan menyediakan kemudahan asas seperti jalan raya dan sebagainya," tambahnya. 
Mengenai Jambatan Batang Samarahan, beliau menjelaskan, jambatan sepanjang 774 meter dengan kos RM110 juta itu siap lebih awal dari tarikh yang ditetapkan. 
Katanya, jambatan itu dapat memendekkan lagi tempoh perjalanan pengguna yang mahu ke bandar Kuching atau ke Samarahan tanpa perlu menggunakan perkhidmatan feri atau jalan alternatif yang jauh. 

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.