Penggunaan Bahasa Mandarin Sebagai Kenyataan Rasmi Kerajaan Tidak Wajar Dan Perlu Dihentikan
KUALA LUMPUR - Kehendak Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu dihormati sekali gus penggunaan bahasa lain termasuk bahasa Mandarin dalam kenyataan rasmi kerajaan wajar dihentikan.
Bekas Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, edaran kenyataan selain daripada bahasa kebangsaan tidak wajar dilakukan kerana ia sudah mencukupi dan difahami semua pihak.
Malah, menurut beliau yang kini ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), amalan mengeluarkan kenyataan dalam bahasa Mandarin tidak pernah dilakukan sejak beliau terlibat dalam mahu pun di luar kerajaan selama lebih 40 tahun.
“Saya fikir amalan tersebut tidak wajar dilakukan kerana kerajaan tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan dalam bahasa selain daripada bahasa kebangsaan atau bahasa Inggeris yang dibenarkan di bawah prosedur Parlimen.
“Oleh itu, saya dengan rasa rendah hati memohon jika benar terdapat amalan sedemikian supaya tidak diteruskan dan kita menghormati kehendak Perlembagaan Persekutuan menggunakan bahasa kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diundang sebagai ahli panel dalam Forum Pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14): Mendepani Cabaran Melestari Institusi Beraja anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dekat sini hari ini.
Yang turut hadir sebagai ahli panel, Exco Pendidikan Pemuda PPBM, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir; Felo Utama Institut Kajian Etnik UKM, Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong dan Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abdul Aziz manakala Sayed Munawar Sayed Mohd. Mustar selaku moderator.
Tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang tetap dengan pendiriannya untuk terus mengeluarkan kenyataan dalam bahasa Mandarin dan Inggeris selain bahasa kebangsaan mengundang kritikan pelbagai pihak.
Dalam perkembangan lain, Rais menghormati pandangan banyak pihak yang mengaitkan nama beliau sebagai seorang daripada calon untuk dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat.
Walau bagaimanapun, jelas beliau, perkara tersebut dianggap sebagai khabar angin semata-mata kerana sehingga kini belum mendapat apa-apa kenyataan rasmi.
“Itu orang main layang-layang sahaja (khabar angin), saya belum dihubungi secara rasmi. Jadi, kita tunggu sahaja jika ada apa-apa berita,” katanya.
No comments