Lim Guan Eng Cabul Kehormatan Perlembagaan
KUALA LUMPUR - Tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menggunakan bahasa Mandarin dalam siaran media rasmi Kementerian Kewangan didakwa sebagai langkah awal Kerajaan Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP yang menganggotainya untuk mencabar kewujudan Akta Hasutan 1948.
Unit Komunikasi Strategik, Ibu Pejabat UMNO berkata, dengan adanya desakan kuat daripada anggota kerajaan PH agar akta itu dihapuskan, Guan Eng dan DAP sengaja mencetuskan provokasi dengan mencabul peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 memperuntukkan agar bahasa Melayu digunakan secara rasmi dalam apa saja urusan pentadbiran negara.
“Tetapi tindak-tanduk Guan Eng yang disifatkan sebagai ‘silap kecil’ bukanlah sesuatu yang harus dipandang sepi kerana ia adalah tanda-tanda awal DAP ingin menghapuskan hak kaum pribumi dengan menjurus kepada pemerintahan republik yang secara tidak langsung menghapuskan institusi Raja-raja Melayu secara perlahan-lahan,” kata unit tersebut dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dakwa unit berkenaan, kekuatan DAP dalam gabungan PH dilihat akan cuba mempengaruhi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad agar Perlembagaan Persekutuan dipinda manakala usul menghapuskan undang-undang yang ada diterima.
“Ini termasuklah Akta Hasutan, Akta Antiberita Tidak Benar 2018, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA). Maka akan wujudlah sistem liberal di Malaysia di mana segala pembohongan, fitnah dan hasutan dibolehkan tanpa tindakan.
“Dalam masyarakat majmuk di Malaysia, cara seperti ini akan menjadi bom jangka terhadap perpaduan kaum dan kemungkinan tercetusnya semula insiden 13 Mei 1969 mungkin tidak dapat dielakkan,” katanya.
Menurut unit itu lagi, UMNO memandang serius perkara tersebut dan menggesa Dr. Mahathir dan Kabinetnya memperhalusi tindakan seperti itu bagi memelihara keharmonian negara.
“Segala kesalahan ‘yang disengajakan’ oleh mana-mana anggota Kabinet perlulah diambil tindakan agar tidak berlarutan dan menjadi provokasi terhadap keamanan nasional.
“Isu penggunaan bahasa Mandarin mungkin sekadar langkah test market pemimpin DAP yang terkenal cauvinis dan sekiranya tanpa tindakan tegas Perdana Menteri, perkara sama akan turut digunapakai oleh kementerian lain, khususnya yang diterajui pemimpin DAP,” kata unit itu.
Namun begitu, jelas unit tersebut, Dr. Mahathir dilihat lebih cenderung untuk menerima apa saja desakan DAP, khususnya berhubung pemansuhan akta-akta yang membolehkan mereka berbuat apa sahaja demi kelangsungan politik mereka.
“Hak istana juga sudah mulai dipersoal, malah ada kenyataan terbuka DAP yang cenderung ingin melihat institusi diraja dihapuskan sama sekali. Ini mencetuskan kemarahan orang Melayu dan rasa tidak puas hati pihak istana.
“Dengan penyiaran tulisan yang mencuit isu perbelanjaan istana baru-baru ini, sehingga mendorong Yang di-Pertuan Agong membatalkan majlis terbuka Hari Raya Aidilfitri di Istana Negara, adalah satu penghinaan. Namun, perkara itu tidak langsung dipedulikan oleh Dr. Mahathir dan PH, bagi mereka institusi diraja seolah-olah sudah mati atau tidak perlu diambil peduli,” ujar unit tersebut.
Katanya, apa yang sedang berlaku ketika ini merupakan amalan sebuah negara republik yang diimpikan oleh DAP.
No comments