Header Ads

Header ADS

Pemimpin Melayu Dan Bumiputera Diseru Sokong Usaha Kerajaan Negeri Sarawak Memperjuangkan Hak-Hak Rakyat Terhakis


KUCHING - Pemimpin Melayu dan kaum Bumiputera lain di negeri ini diharap menyokong penuh usaha kerajaan Sarawak pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memperjuangkan hak-hak rakyat dan negeri yang telah terhakis.

Menteri Muda Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana, Datuk Mohd Naroden Majais berkata, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kerajaan persekutuan telah bertukar selepas kekalahan Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun bagi negeri Sarawak, meskipun BN telah kalah namun kerajaan sedia ada pimpinan Abang Johari masih lagi kerajaan yang memerintah sebagai negeri pembangkang dalam persekutuan Malaysia, katanya.

“Sebab itulah komponen parti BN dari Sarawak keluar daripada BN dan membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membolehkan kita terus memperjuangkan hak-hak Sarawak yang telah lama terhakis.

“Kalau kita tidak bersatu dan tidak menyokong usaha pemimpin kita, kita mungkin lemah dan tidak berjaya dalam perjuangan ini,” katanya.

Naroden yang juga Mentyeri Muda E-Dagang berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri dan Penyampaian Hadiah Galakan Pelajar anjuran Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) di Dewan Sri Bunga Rampai di Jalan Taman Budaya di sini, semalam.

Tambah Naroden, salah satu hak yang diperjuangkan oleh kerajaan Sarawak pada masa ini ialah kawal selia ke atas sumber minyak dan gas di negeri ini mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Justeru, beliau berharap semua rakyat di negeri ini tanpa mengira kaum dan latar belakang politik memperjuangkan hak-hak negeri demi kemajuan dan kepentingan bersama.

Mengulas mengenai persatuan tersebut, Naroden berkata ia merupakan antara persatuan yang tertua di negara sejak tahun 1939 dan telah banyak membantu ahlinya terutama dari segi pendidikan.

Beliau berharap persatuan ini akan meneruskan usahanya dalam meningkatkan lagi tahap pendidikan terutama dalam kalangan anak-anak Melayu Sarawak. 

Pada majlis itu, Naroden menyampaikan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada persatuan untuk membiayai aktiviti-aktivitinya.

Naroden turut menyampaikan hadiah galakan kepada 18 anak PKMS yang cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Tahap Tiga (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi 2017.

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.