Aktifkan Budaya Pandang Ke Timur
MALAYSIA berkembang maju melalui perancangan teliti dan sistematik sejak mula merdeka lagi. Rancangan Lima Tahun (RMK) pembangunan kerajaan peninggalan zaman pemerintah Inggeris di Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua berterusan sehingga sekarang.
Rancangan Malaya Pertama dari 1956 hingga 1960 diikuti dengan Rancangan Malaya Kedua dari 1961 hingga 1965 dan seterusnya disambung dengan Rancangan Malaysia Pertama pada 1966 hingga 1970. Kini Malaysia berada dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) 2016 hingga 2020.
Dalam tempoh itu, Malaysia menjadi antara negara terbaik di Asia dan berjaya mentransformasi struktur ekonomi daripada berasaskan pertanian pada 1970-an kepada ekonomi berasaskan pembuatan pada pertengahan 1980-an.
Pertumbuhan ekonomi dan perkhidmatan moden pada dekad 1990-an meningkatkan pendapatan penduduk negara sehingga kini.
Dalam RMK-11 sekarang ialah peringkat yang paling mencabar bagi merealisasikan Wawasan 2020. Wawasan 2020 yang dilancarkan pada 1991 menggariskan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara maju dalam semua aspek, iaitu ekonomi, politik, sosial, kerohanian, psikologi dan budaya menjelang 2020.
Negara paling berdaya saing
Perancangan, komitmen kerajaan dan sokongan rakyat berkongsi cita-cita menunjukkan pencapaian negara yang memberangsangkan dan merekodkan sebagai antara negara paling berdaya saing di dunia.
Sepanjang tempoh itu juga rakyat Malaysia selesa dengan kemudahan asas air dan tenaga dengan 95 peratus daripada penduduk mendapat akses kepada air bersih dan 97 peratus mendapat bekalan elektrik. Pada umumnya Malaysia sudah pun mempunyai kemudahan asas infrastruktur yang sempurna.
Dalam fasa pelan pembangunan negara untuk memenuhi matlamat pertumbuhan ekonomi bagi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat, Malaysia telah melalui fasa Dasar Ekonomi Baru (DEB), 1971-1990; Dasar Pembangunan Nasional, 1991-2000; Dasar Wawasan Negara, 2001-2010 dan Dasar Transformasi Negara, 2011-2020.
Tumpu etika kerja, budaya masyarakat Jepun
Pelbagai aktiviti dilakukan kerajaan dalam memastikan kejayaan dasar yang digariskan dalam RMK. Antaranya ialah Dasar Pandang ke Timur.
Dasar Pandang ke Timur memberikan tumpuan kepada etika kerja dan budaya masyarakat Jepun untuk rakyat Malaysia bekerja dengan lebih kuat lagi dan mengubah gaya kerja yang selama ini lebih dipengaruhi oleh budaya Barat.
Walaupun dalam Dasar Pandang ke Timur melihat kepada negara seperti Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Singapura, tetapi tumpuan lebih kepada Jepun.
Dasar yang diperkenalkan pada 1982 sangat relevan dengan Malaysia dan telah membantu Malaysia terus maju dan wajar diteruskan.
Nilai kerja dan inovasi yang diamalkan oleh Jepun perlu menjadi ikutan dan teladan rakyat Malaysia.
Penghantaran pelajar ke Jepun untuk melanjutkan pengajian pada peringkat ijazah pertama dan pasca siswazah berjaya menyumbang kepada budaya kerja dan amalan pemikiran cara Jepun.
Selain itu, banyak lagi program kerjasama melalui program Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA), iaitu agensi Kerajaan Jepun untuk menyelaras bantuan ekonomi dan pertumbuhan sosial negara membangun dan mempromosikan kerjasama antarabangsa dan JSPS (The Japan Society for the Promotion of Science (bertujuan menyumbang kepada peningkatan sains terutama dalam bidang sains semula jadi dan sosial dan kemanusiaan).
Banyak budaya penting Jepun dipelajari di samping bahasanya.
Budaya tunduk memberi hormat, tidak bising dan bercakap kuat di khalayak, mementingkan kebersihan, budaya mengucap selamat pagi atau minta maaf dan terima kasih menunjukkan kemesraan dan hormat dalam kalangan masyarakat Jepun.
Masyarakat mereka amat menghargai alam semula jadi, mengamalkan kitar semula, melakukan sesuatu dengan teliti, dan banyak lagi aktiviti dan tingkah laku yang menunjukkan orang Jepun itu menghormati dan menghargai sesama manusia yang boleh dicontohi.
Dalam komuniti akademik, misalnya makmal yang produktif menghasilkan banyak penerbitan, inovasi dan penyelidikan yang berkualiti jelas menunjukkan sifat hormat, kerjasama, penghargaan, disiplin, kerja kuat dan ketelitian bekerja.
Hierarki dalam organisasi sangat jelas antara profesor senior, profesor, profesor madya, pembantu profesor dan pelajar serta semangat bekerja dalam kumpulan.
Sifat menghormati sistem ini membawa Jepun kepada masyarakat yang sangat berjaya.
Hasrat untuk Malaysia bekerjasama dengan Jepun bermula sejak zaman Tunku Abdul Rahman lagi apabila melihat kepada perkembangan ekonomi dan teknologi Jepun yang menarik minat ramai negara untuk bekerjasama dengan Jepun.
Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri telah mengusulkan Dasar Pandang ke Timur pada awal 1980-an untuk mempelajari secara sistematik unsur yang berjaya dalam amalan pengurusan dan perniagaan Jepun.
Lawatan terkini Dr Mahathir ke Jepun akan mencergaskan semula dan menambah baik Dasar Pandang ke Timur bagi memperkukuhkan kerjasama dan meningkatkan daya saing perniagaan untuk kedua-dua negara.
Pengukuhan inisiatif bidang pendidikan, latihan dan pelaburan akan memperluas pembangunan sumber manusia dan menggalakkan pemindahan dalam sains dan teknologi.
Program sedia ada kerjasama Malaysia-Jepun perlu dikenal pasti dan menambah baik, di samping memperkenalkan yang baharu dengan pendekatan yang lebih berkesan.
Persatuan Alumni Dasar Pandang Ketimur (ALEPS) dan kumpulan penyelidik Malaysia-Jepun yang berjaya perlu diketengahkan bagi membantu pengaktifan semula Dasar Pandang ke Timur. Sejarah kerjasama teknikal Malaysia-Jepun sudah menunjukkan kejayaan dan perlu diteruskan. -BH Online
No comments