Header Ads

Header ADS

Lagi Ahli PRS Bertindak Keluar Parti


SIBU - Lebih ramai ahli Parti Rakyat Sarawak (PRS) bertindak keluar parti berikutan hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap kepimpinan Presiden Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing.

Selepas beberapa siri keluar parti di peringkat bahagian, giliran PRS Bukit Assek yang diketuai Pengerusinya Kaunselor Duli Sunggau bersama lebih 400 ahli mengumumkan keluar parti.

Terdahulu, PRS Senadin, PRS Kakus dan PRS Tamin telah mengumumkan keluar parti dan membubarkan penubuhan PRS di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

"Kami telah hilang keyakinan terhadap pucuk pimpinan parti terutamanya Masing yang disifatkan sebagai mementingkan kroninya sahaja.

"Isu pemilihan pelantikan setiausaha politik parti semuanya diatur Masing dan tidak mengikut kehendak hierarki dalam parti sebaliknya memilih kroni untuk jawatan tersebut.

"Keputusan meninggalkan parti dibuat secara bersama selepas mengadakan perbincangan mengenai hala tuju parti selepas pilihan raya," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, semalam.

Turut sama hadir, Setiausaha PRS Bukit Assek Casper Kayong Umping, Ketua Wanita PRS Bukit Assek Edan Manan, Ketua Pemuda PRS Bukit Assek Winston Kayong dan beberapa ahli jawatankuasa yang lain.

Dalam pada itu, Duli turut mendesak Masing meletak jawatan sebagai presiden parti dan bertanggungjawab ke atas kekalahan PRS pada Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14) lalu.

Duli juga memberitahu tindakan mereka ini dibuat secara sukarela dan tiada paksaan daripada mana-mana pihak atau individu.

"Tindakan kami meninggalkan parti dilakukan secara sukarela tanpa paksaan mana-mana pihak.

"Sekali lagi, saya menyatakan kami keluar parti kerana tidak bersetuju dengan kepimpinan Masing dan kroninya," katanya lagi.

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.