Header Ads

Header ADS

PAS Sarawak Gesa Kerajaan Pakatan Harapan Tunaikan Hasrat Rakyat Sarawak Seperti Dijanjikan


KUCHING - Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sarawak menggesa kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) menunaikan hasrat rakyat di negeri ini yang mahu konsep persekutuan ditunaikan sepenuhnya.
Penolong Setiausaha Pemuda PAS Pusat Hadi Amat berkata, melalui konsep persekutuan itu, ia dapat mewujudkan hubungan kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan demi kesejahteraan negara. 
“Konsep persekutuan ini penting bagi kerajaan baharu di bawah PH bekerjasama dan menghormati hak kerajaan negeri dan kerajaan negeri akan memberi kerjasama dengan kerajaan pusat.
“Ini yang perlu dilakukan bersama antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan demi kesejahteraan Malaysia,” katanya pada sidang media sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Media Kuching di sebuah restoran di iCOM Square di sini kelmarin. 
Pada masa sama Hadi berkata, sudah tiba masanya rakyat negara ini menerapkan budaya politik matang dan sejahtera yang meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan.


“Rakyat Malaysia harus menerap budaya ini, politik berlandaskan realiti bukan berdasarkan persepsi.

“Semua orang bercakap tentang negara, bagaimana kita hendak letakkan satu agenda demi kesejahteraan negara,” tegasnya. 
Tambahnya, budaya politik matang dan sejahtera harus bersandarkan kepada politik solusi dan politik fakta serta hujah.


Menyentuh tentang perkembangan PAS di Sarawak, Hadi berkata di lima kerusi Parlimen yang ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, menunjukkan impak positif.

Beliau menjelaskan ia bukan sahaja dari sudut undi tetapi juga kewujudan PAS menjadi organisasi dalam masyarakat setempat.

“Walaupun kami tidak memerintah agenda yang kita gariskan ‘Wawasan Induk Negara Sejahtera’ tetap kami laksanakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Sarawak Muhammad Afiq Mohd Khazar menggesa supaya kerajaan persekutuan menubuhkan jawatankuasa khas untuk negeri ini.

Beliau berkata jawatankuasa itu bagi membangunkan pendidikan di semua peringkat dan infrastruktur asas termasuk bekalan air dan elektrik ke seluruh Sarawak.

Beliau juga berharap media akan lebih terbuka dalam memberi ruang kepada PAS bersuara dan memberi pandangan.

Manakala Ketua Pemuda PAS Sarawak Arifiriazul Paijo berkata, semua parti politik harus berhenti bermain politik berasas tohmahan dan kebencian. 

Beliau yang juga AJK Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa seluruh parti politik bekerjasama membantu membina Malaysia demi kebaikan rakyat. 

Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak Zulkifli Ramzi dan ahli PAS yang lain. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.