Header Ads

Header ADS

Kerajaan Negeri Lulus Peruntukan RM9 Juta Perbesar Dan Baikpulih Masjid At Taqwa


MIRI - Kerajaan negeri meluluskan peruntukan berjumlah RM9 juta untuk memperbesar dan membaik pulih masjid pusat bandar raya Miri, Masjid At Taqwa.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, usaha menaik taraf masjid itu adalah tugas yang perlu dilaksanakan untuk menguatkan syiar dan ajaran agama Islam.

“Di Miri ini, alhamdulillah apa saja yang dapat kita dilaksanakan, kita laksanakan. Masjid akan kita perbesarkan. Saya telah meluluskan RM9 juta untuk kita mengekalkan masjid supaya lebih selesa untuk umat islam,” ujarnya.

Perkara tersebut dijelaskan pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak di masjid tersebut malam kelmarin.

Berusia lebih 30 tahun, Masjid At Taqwa yang terletak di Jalan Kipas, merupakan antara mercu tanda Miri selain dijadikan pusat ibadah dan penganjuran aktiviti agama untuk masyarakat Islam di sini.

Abang Johari berkata, walaupun jumlah tidak ramai, penduduk Islam di negeri ini dapat melaksanakan tugas mengembangkan syiar Islam secara tersusun. Ini kerana telah menjadi tugas setiap umat Islam untuk bersama-sama membantu menaik taraf dan menguatkan syiar Islam, katanya.

“Di Miri umpamanya, kita dapat melaksanakan tugas menjaga anak yatim, kita dapat memperkuatkan takungan kewangan orang Islam melalui Baitulmal, kita dapat mendirikan masjid-masjid kita,” tambah beliau.

Beliau turut menggesa umat Islam untuk bersatu, berpegang kepada ajaran agama dan al-Quran serta bertawakal sebagai kekuatan berdepan ujian daripada Allah SWT.

Sambutan Nuzul Al-Quran diraikan untuk memperingati peristiwa turunnya ayat al-Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada hari ini.


Peristiwa berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 keputeraan Nabi Muhammad SAW.

Sehubungan itu, Abang Johari mahu umat Islam memanfaatkan sepenuhnya mukjizat al-Quran dengan memahami isi kitab suci itu.


“Baca, faham dan laksanakan dengan tugas kita masing-masing, Insya-Allah umat Islam di negeri Sarawak akan terjaga dan kita dapat melaksanakan tugas kita dengan baik,” jelasnya.

Bertema ‘Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah’ program bermula dengan majlis berbuka puasa dan diteruskan dengan solat Maghrib berjemaah dan makan malam.

Mufti Negeri Datu Kipli Yassin menyampaikan tazkirah Nuzul Al-Quran selepas solat Isyak berjemaah dan diteruskan dengan solat sunat terawih. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.