Meskipun Tewas, Jepun Wakil Tunggal Asia Layak Ke Pusingan Kalah Mati Piala Dunia 2018
VOLGOGRAD - Jepun muncul pasukan Asia tunggal mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia meskipun tewas 0-1 di tangan Poland yang sudah pun terkeluar daripada saingan, berterima kasih kepada jumlah minimum kad kuning berbanding Senegal yang tersingkir menerusi peraturan 'fair play' selepas kedua-dua pasukan itu terikat jumlah mata dan jaringan gol.
Pasukan dikenali sebagai 'Samurai Blue' hanya memerlukan keputusan seri untuk mara ke pusingan kalah mati selepas menewaskan Colombia dan seri dengan Senegal dalam dua perlawanan sebelum ini dan secara tidak langsung mengubah jangkaan awal yang disandarkan ke atas mereka.
Namun mereka mampu menduduki tangga kedua berdasarkan kutipan kad kuning yang kurang berbanding Senegal - pasukan yang mempunyai kedudukan mata, jumlah jaringan sama dengan mereka - selepas skuad dari Afrika itu tewas 0-1 di tangan Colombia.
Jepun kini dijadual bertemu sama ada England ataupun Belgium di pusingan 16 terbaik.
Perlawanan yang berlangsung dalam suhu 36 darjah celsius itu menyaksikan kebuntuan jaringan terlerai pada minit ke-59 menerusi Jan Bednarek.
Apapun, kemenangan itu dilihat cukup untuk memadam kekecewaan Poland yang sebelum ini mara ke suku akhir Euro 2016, pentas yang menyaksikan mereka terkeluar daripada saingan menerusi sepakan penalti dengan juara, Portugal. - Reuters
No comments