Kabinet Sarawak Bersetuju Pinda Kanun Tanah Negeri
KUCHING - Kabinet Sarawak bersetuju pindaan Kanun Tanah Negeri dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berlangsung Julai depan.
Pindaan Kanun Tanah Negeri tersebut dijangka akan dapat menyelesaikan masalah Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) seperti Pemakai Menoa dan Pulau Galau.
Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg berkata, keputusan itu adalah hasil daripada mesyuarat kabinet negeri yang diadakan semalam.
“Tiada banyak perkara dalam mesyuarat, ia cuma mesyuarat kabinet biasa.
“Kecuali satu perkara iaitu kita akan membentangkan pindaan Kanun Tanah Negeri mengenai Pemakai Menoa dan Pulau Galau untuk dibentang pada Persidangan DUN Julai nanti,” katanya ketika ditanya selepas menghadiri Majlis Gawai Raya Jabatan Ketua Menteri 2018 yang dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib di Dewan Undangan Negeri (DUN) lama di sini, semalam.
Terdahulu, dalam Majlis Makan Malam Sambutan Gawai Dayak 2018 lepas, Abang Zohari berkata beliau akan mengemukakan perkara itu untuk dibincangkan pada mesyuarat kabinet.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pulau Galau dan Pemakai Menoa Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang turut ditemui pada majlis yang sama berkata, beliau enggan mengulas lanjut sehingga rang undang-undang berkenaan dibentangkan.
“Saya telah membentangkan draf cadangan rang undang-undang pindaan dan kabinet (semasa mesyuarat) bersetuju.
“Ia dijadualkan untuk dibentang pada Persidangan DUN akan datang... saya tidak dapat memberi butiran lanjut sehingga persidangan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai keputusan Kerajaan Negeri Sarawak yang mahu meminda Kanun Tanah Negeri berkenaan.
Beliau yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata perkara itu masih sulit sehingga ia dibentangkan beliau pada persidangan nanti.
No comments