Header Ads

Header ADS

Ke Mana Perginya Duit Raya?


KUALA LUMPUR - Kumpul duit raya, jadikan 'ibu duit' sebagai permulaan simpanan awal anak anda. Pemberian yang penuh berkat pada bulan Syawal ini wajar dimanfaatkan sebagai tabungan untuk keperluan masa depan mereka.
Pemberian itu juga merangsang perkembangan positif dengan memupuk semangat menabung seawal usia.
Duit yang diberikan juga dilihat sebagai simbolik sokongan serta insentif untuk mereka memulakan tabungan sebelum meneruskan usaha berkenaan pada masa hadapan.
Menjadi tanggungjawab ibu bapa memastikan setiap pemberian diuruskan dengan sempurna kerana proses pengurusan membuka minda anak mengenai pentingnya berjimat cermat ketika berbelanja.
Pensyarah Program Komunikasi dan Felo Penyelidik Unit Penyelidikan Warisan Borneo, Fakulti Kemanusiaan, Seni Warisan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Norhuda Salleh, berkata ibu bapa bertindak sebagai pemangkin dalam memupuk semangat berbelanja secara berhemat.
Beliau berkata, ibu bapa perlu menetapkan matlamat membuat tabungan hasil pemberian duit raya supaya anak tidak menghabiskannya untuk perkara tidak bermanfaat.
"Semangat menabung melatih anak membuat persediaan bagi menjamin masa depan terutama dalam bidang pendidikan. Usaha ini melatih mereka menjadi insan berdisiplin dengan menabung memupuk disiplin yang tinggi.
"Duit yang disimpan dalam bank boleh dikeluarkan untuk keperluan masa depan. Selain dijadikan pelaburan dengan keuntungan dimanfaatkan ketika berlaku kecemasan," katanya kepada BH, baru-baru ini.
Norhuda berkata, pemberian duit raya menjadi adat dalam budaya meraikan perayaan semua masyarakat di negara ini, namun amalan itu tertakluk kepada kemampuan individu.
Beliau berkata, banyak atau sikit tidak seharusnya dipersoalkan, namun bagaikan lumrah kanak-kanak tanpa segan mempertikaikan perkara itu.
Sekali lagi katanya, ibu bapa berhadapan cabaran ketika mendidik anak yang secara lumrahnya mengharapkan pemberian yang lebih.
"Sikap sedemikian perlu ditegur kerana pada usia sedemikian mereka perlu didedahkan dengan nilai murni. Didik anak supaya tidak mempersoalkan, sebaliknya mensyukuri pemberian tanpa melihat jumlah diterima.
"Maklumkan kepada mereka bahawa memberi duit raya bukanlah satu kewajipan. Pemberian bergantung kemampuan tuan rumah.
"Apabila anak mendapat bimbingan peringkat awal dengan memberi penerangan mengenainya, saya yakin jumlah diberikan tidak menjadi persoalan," katanya.
Info
  • Tabung Haji
  • Terbuka kepada semua pendeposit dengan jumlah simpanan minimum RM2 sahaja
    Apabila mendaftar akaun kanak-kanak, ibu bapa boleh mendaftar haji untuk mereka bagi mendapatkan giliran. Pendeposit perlu mencukupkan wang sehingga RM1,300 di dalam akaun
    Amanah Saham Bumiputera (ASB)
    Simpanan untuk anak yang paling popular
    Pelaburan jangka panjang sesuai kerana berisiko rendah dan mempunyai kadar keuntungan kompetitif
    Permodalan Nasional Berhad (PNB) memperkenalkan skim amanah saham bagi membolehkan pelaburan dibuat untuk bayi seawal usia enam bulan ke atas, iaitu Akaun Remaja
  • Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i)
  • Akaun SSPN-i boleh dibuka seawal usia setahun
    Sebagai persiapan pendidikan masa depan tanpa bebanan hutang
    Rebat cukai pendapatan ibu bapa
  • Simpanan Junior Hong Leong Bank
  • Akaun simpanan, deposit tetap dan kad debit
    Pendeposit seawal usia dengan had umur maksimum 18 tahun
    Polisi perlindungan insurans
    Rebat cukai pendapatan ibu bapa

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.