Masa Depan Sarawak Cerah Jika Rakyatnya Terus Pertahankan Perpaduan Sedia Ada
KUCHING - Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg yakin masa depan Sarawak akan terus cerah sekiranya semua rakyat berbilang agama dan kaum di negeri ini dapat mempertahankan perpaduan yang terjalin selama ini.
Justeru, beliau menyeru rakyat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai latar belakang untuk bersama-sama mewujudkan suasana perpaduan yang amat penting ini.
“Memang di Sarawak telah terkenal dengan perpaduan yang begitu erat dalam kalangan masyarakat berbilang agama dan kaum, ini merupakan satu kekayaan budaya kita di Sarawak.
“Sebab itu, saya rasa masa depan kita akan cerah kalau kita dapat mempertahankan budaya ini dan bersama-sama membina negeri ini supaya sentiasa aman, selesa dan seterusnya membangun dalam keadaan yang lebih baik untuk masa depan,” katanya dalam temu ramah sempena Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2018 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Abang Zohari berkata sambutan Hari Raya Aidilfitri di Sarawak tahun ini turut bermakna kerana ia diraikan dalam bulan yang sama dengan perayaan Hari Gawai Dayak.
“Maka tahun ini kita meraikan Gawai Raya di mana ini akan merapatkan lagi silaturahim antara kita dan sudah tentu kita dapat bersama-sama membangunkan negeri atas platform budaya yang sangat erat ini,” katanya.
Sementara itu, Abang Zohari menyifatkan sambutan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2018 beliau yang diadakan pada raya pertama dan kedua amat meriah.
Ia dianggarkan dihadiri kira-kira 30,000 orang daripada masyarakat berbilang agama dan kaum yang berpusu-pusu datang, sebaik sahaja majlis bermula dari jam 10 pagi hingga 4 petang.
Malah, majlis turut dikunjungi Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib serta menteri- menteri kabinet negeri, wakil-wakil rakyat, orang kenamaan lain termasuk golongan korporat.
“Ini adalah satu tradisi yang sangat baik di mana masyarakat berbilang kaum sentiasa bersama-sama mengunjungi dan turut serta dalam Hari Raya Aidilfitri.
“Ini menunjukkan perpaduan yang amat kukuh antara rakyat Sarawak,” katanya.
No comments