Header Ads

Header ADS

Fadillah Templak Chong Berhubung 85 Peratus Projek Sekolah Daif Guna IBS Alami Kelewatan


KUCHING - Bekas Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof menempelak tuduhan yang dilemparkan oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Chong Chieng Jen bahawa 85 peratus daripada projek sekolah daif menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) mengalami kelewatan. 
Fadillah berkata, tuduhan tersebut adalah tidak benar tanpa mengetahui fakta sebenar perkembangan projek di negeri. 
Terdahulu, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dato Sri Michael Manyin juga berkata, beliau dan kementeriannya tiada kaitan dengan projek ini dan meminta Fadillah untuk menjelaskannya. 
"Chong boleh membuat tuduhan tetapi saya perlu semak dahulu projek mana yang dikatakan sebagai lewat, sebab ada projek yang dibawah Jabatan Kerja Raya (JKR) dan ada yang dibawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)," katanya ketika ditemui pemberita di Rumah Terbuka Aidilfitri di Dewan CIDB, Jalan Sultan Tengah di sini, Ahad lepas.
Dalam menjelaskan isu ini, Fadillah telah mengeluarkan kenyataan rasmi bagi makluman umum dan mengelak daripada timbulnya lebih banyak spekulasi mengenai pelaksanaan sekolah daif di negeri ini. 
Menurut Fadillah, ketika beliau menjadi Menteri Kerja Raya, Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima bagi Pembinaan Semula Dan Manaiktaraf Sekolah Daif Menggunakan Kaedah IBS di Sarawak diadakan pada 23 Februari 2018. 
Fasa pertama kerja naik taraf dan pembinaan semula sekolah daif di Sarawak melibat 116 sekolah dan 50 daripada projek berkenaan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, manakala 66 lagi oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). 
Jelas Fadillah lagi, bagi 50 sekolah dibawah Fasa 1 yang dilaksanakan oleh JKR, sebanyak 13 kontraktor dipilih oleh JKR Sarawak untuk melaksanakannya dalam 13 pakej. 
Kesemua 50 projek yang dilaksanakan JKR di Sarawak itu sepatutnya siap pada 27 Jun 2018.
"Saya difahamkan oleh pihak JKR setakat ini 21 daripada 50 projek di Sarawak kini mendahului jadual. 
"Saya juga dimaklumkan oleh pihak JKR bahawa 29 lagi projek kini mengalami kelewatan antara 0.43 peratus hingga 30.76 peratus berpunca daripada masalah tapak tanah yang diluar jangkaan dan memberi kesan kepada kerja-kerja 'piling' (cerucuk). 

"Punca lain kelewatan ialah masalah kontraktor, pembekalan dan masalah cuaca," katanya. 

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.