Header Ads

Header ADS

Lagi Mangsa Rabies Meninggal Dunia Di Serian


KUCHING - Satu lagi kematian akibat rabies dicatatkan pada Khamis, menjadikan 10 nyawa terkorban disebabkan penyakit yang dikesan sejak pertengahan tahun lalu di Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa terbaharu ialah seorang wanita berumur 21 tahun dari Kampung Koran Bari, Serian.

“Kes baharu ini mempunyai sejarah digigit anjing peliharaan sendiri di bahagian lengan kanan ketika cuba memandikan anjing tersebut pada 20 April 2018.

“Kes mendapatkan rawatan luka dan suntikan antitetanus di Hospital Serian pada malam kejadian dan dinasihati untuk mendapatkan rawatan lanjut di Klinik Gigitan Anjing, Hospital Serian pada keesokan hari,” katanya menerusi kenyataan media pada Jumaat.

Bagaimanapun menurutnya, mangsa tidak pergi ke klinik bagi mendapatkan rawatan susulan.

Anjing yang menggigit mangsa adalah seekor anjing liar yang diambil dan dipelihara bapanya, tiga minggu sebelum kejadian itu berlaku.

Anjing tersebut juga didapati tidak pernah menerima sebarang vaksinasi antirabies.

Menurutnya lagi, pada 20 Mei mangsa mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Umum Sarawak (HUS) kerana mengalami kesakitan dan lemah di bahagian bahu kanan selama empat hari.

Dia kemudian dimasukkan ke wad pengasingan HUS.

“Keadaan kes menjadi semakin teruk dengan menunjukkan simptom halusinasi, demam dan hilang refleks pada kedua-dua belah tangannya. Kes disahkan meninggal dunia pada 31 Mei 2018 jam 5.01 pagi,” ujarnya.

Sampel klinikal kes telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan pada 31 Mei dan disahkan positif rabies.

Semenjak pengisytiharan wabak rabies di Sarawak bermula pada 1 Julai 2017, jumlah keseluruhan kes rabies yang telah disahkan di kalangan manusia adalah sebanyak 11 orang.


Daripada jumlah tersebut, 10 kes meninggal dunia, manakala, satu kes dibenarkan keluar dari hospital dengan defisit neurologi teruk dan kini dirawat di rumah. Sehingga 31 Mei 2018, kerajaan negeri mengisytiharkan 31 kawasan di lima Bahagian di Sarawak sebagai kawasan dijangkiti wabak rabies.

Serian mencatatkan 21 kawasan, Kuching (lima), Samarahan (tiga) dan masing-masing satu di Sri Aman dan Sarikei.

Kawasan positif rabies terbaharu diisytiharkan pada 28 Mei adalah Kampung Selarat, Daerah Lundu, Kuching.


“Kementerian Kesihatan ingin menegaskan sekali lagi pencegahan jangkitan rabies pada manusia amat bergantung kepada kejayaan mengawal rabies di kalangan anjing.

“Orang ramai perlu memberi kerjasama dengan membawa haiwan peliharaan untuk divaksinasi,” jelasnya.

Juga diingatkan agar tidak memelihara mana-mana anjing liar yang tidak diketahui status vaksinasinya.

Langkah pencegahan paling penting ialah mengelakkan dari gigitan anjing atau haiwan liar.

“Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan kerajaan negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan agensi-agensi lain bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dapat dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.