Lagi 400 Ahli PRS Bahagian Tamin Umum Keluar Parti
SELANGAU - Parti Rakyat Sarawak (PRS) menerima tamparan sekali lagi apabila lebih 400 ahli PRS Bahagian Tamin mengumumkan keluar parti itu semalam.
Peristiwa itui berlaku pada Hari Gawai kedua iaitu lima hari selepas kira-kira 300 ahli PRS Bahagian Kakus membuat keputusan sama keluar parti pada 29 Mei lepas.
Timbalan Pengerusi PRS Bahagian Tamin Augustine Amin menegaskan keputusan mereka meninggalkan parti kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti.
“Kami kecewa dan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Presiden parti Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing yang bersifat kepentingan peribadi.
“Tindakan kami meninggalkan parti dilakukan secara sukarela tanpa paksaan mana-mana pihak,” jelasnya ketika ditemui di Rumah Jangit, Sungai Igu, Tamin.
Hadir sama Bendahari PRS Bahagian Tamin bekas Kaunselor Gawan Ma-ieng.
Augustine berkata, PRS Bahagian Tamin sebulat suara mahu Masing meletak jawatan sebagai Presiden parti dan bertanggungjawab di atas kekalahan calon Barisan Nasional (BN) yang diwakili PRS.
“Kami mahu Masing meletak jawatan sebagai PRS kerana kesilapan yang dilakukan beliau dengan perjuangan yang bersifat kepentingan peribadi dan menyebabkan parti kehilangan tiga kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 yang lalu,” ujarnya.
Sehingga berita ditulis petang semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Christopher Gira Sambang tidak dapat dihubungi untuk memberi komen.
Sementara itu, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk John Sikie Tayai menafikan dakwaan kira-kira 300 ahli PRS Bahagian Kakus keluar parti.
“Ini kerana hanya segelintir mereka sebenarnya ahli-ahli PRS Bahagian Kakus, sementara yang lain bukan ahli PRS sama sekali.
“Jadi, peletakan jawatan (keluar parti) tidak mempengaruhi PRS Bahagian Kakus,” jelas Sikie yang juga Pengerusi PRS Bahagian Kakus.
Masing menerusi Jawatankuasa Khas PRS telah memecat lima ahli majlis tertinggi parti kerana mengikari keputusan parti atas senarai calon untuk PRU14.
Mereka yang dipecat ialah bekas Timbalan Presiden PRS dan Ahli Parlimen Selangau Datuk Joseph Entulu Belaun, bekas Ahli Parlimen Lubok Antu Datuk William Nyalau Badak, Nyempah Sabot, Adriana Chumang Nyambong dan Edward Kurik.
Pada PRU14, PRS gagal mempertahankan kerusi Parlimen Selangau, Lubok Antu dan Julau. PRS menang di kerusi Parlimen Sri Aman, Hulu Rajang dan Kanowit. -Utusan Borneo Online
No comments