Header Ads

Header ADS

Kekalkan Budaya Tradisi Dan Keunikan Masyarakat Lun Bawang


LAWAS - Masyarakat Lun Bawang perlu menjunjung budaya tradisi yang menjadi identiti dan keunikan untuk diwariskan kepada generasi baharu.

Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong berkata, budaya memainkan peranan penting dalam masyarakat untuk dikekalkan demi memastikannya tidak lupus ditelan zaman.

“Budaya dan kebudayaan yang menjadi amalan sekian lama serta berkait dengan ekonomi dan pendidikan amat penting untuk dipelihara.

“Pesta Irau Aco bertemakan ‘Budaya, Warisan, Bangsa’ (Ayu Inul Pupuh Tau), satu platform untuk kita berkumpul atas nama kebudayaan dan merayakan budaya yang mencerminkan identiti,” katanya pada Majlis Perasmian Irau Aco Lun Bawang di sini semalam.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Selangau yang juga ADUN Ba’ Kelalan Baru Bian, Residen Bahagian Limbang Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Presiden Persatuan Lun Bawang Sarawak (PLBS) Ipoi Datan, Setiausaha Majlis Daerah Limbang Zulkipli Sahari dan Pengerusi PLBS Cawangan Belia merangkap Pengerusi Pengelola Irau Aco Lun Bawang Sarawak 2018 Petrus Lasong.

Henry yang juga Penaung PLBS menambah, pesta Irau Aco kali ini lebih meriah dengan peningkatan jumlah pengunjung dan acara kebudayaan selain penyertaan daripada wilayah serumpun.

“Saya sangat bangga dapat melihat kemeriahan dengan peningkatan dari segi persembahan dan acara pada Irau Aco tahun ini berbanding sebelumnya,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, peningkatan itu adalah hasil kerjasama erat persatuan luar membabitkan Sabah, Brunei dan Indonesia.

Henry juga mahu masyarakat Lun Bawang terus berusaha, menyokong dan bekerjasama antara satu dengan lain sekali gus mengetepikan perselisihan faham dan perbezaan pendapat.

Kebudayaan masyarakat Lun Bawang katanya lagi, harus ditonjolkan dari segi adat resam, budaya, sukan serta muzik tradisional supaya masyarakat lain dapat mengenali keunikkan budaya mereka.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri mengagihkan peruntukan RM1 juta kepada PBLS bagi tujuan pembelian lot kedai untuk pejabat persatuan itu di Lawas.

Terdahulu, Baru yang juga Penaung PLBS berkata, budaya yang merangkumi adat, agama dan asal usul Lun Bawang perlu dipelihara untuk diteruskan generasi muda.


“Kekuatan budaya yang ditonjolkan melalui Irau Aco amat penting agar generasi muda dapat mempelajari keunikan budaya ini secara keseluruhannya,” ujarnya. 

Pesta Irau Aco diadakan sebagai tanda berterima kasih dan bersyukur atas hasil tuaian padi dan memohon berkat atas rezeki yang diperolehi.

Pesta itu juga berjaya mengajak masyarakat Lun Bawang untuk mengenakan satu baju tradisional untuk dipakai pada pesta itu semalam.

Terdahulu, Henry mengumumkan peruntukan RM30,000 dan Baru sebanyak RM10,000 pada majlis itu. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.