Header Ads

Header ADS

Kertas Kerja Elaun Khas Skim Perkhidmatan Anggota Bomba Tunggu Kelulusan Kerajaan


KUCHING - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya sudah menyiapkan kertas kerja berhubung Elaun Khas Skim Perkhidmatan anggota bomba untuk kelulusan kerajaan.
Beliau berkata, kertas kerja itu sudah siap sepenuhnya dan akan dibawa ke Kabinet dalam masa terdekat, namun akur kelulusannya tertakluk kepada keupayaan kewangan negara yang kini masih belum stabil sepenuhnya.
"Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah siapkan kertas kerja untuk kelulusan Kabinet berhubung elaun khas berkenaan, namun faktor perbelanjaan perlu diambil kira sebelum diluluskan.
"Seperti kita maklum, ekonomi negara masih cuba distabilkan dengan bebanan hutang, namun kita tetapkan usahakan permintaan ini (elaun khas)," katanya pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri dan Ngiling Bidai Gawai anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Prof Dr Sim Kui Hian; Ketua Pengarah JPBM, Mohammad Hamdan Wahid dan Pengarah Bomba Sarawak, Nor Hisham Mohamad.
Elaun sebanyak RM200 itu diberikan kerajaan sebelum ini diluluskan Dewan Rakyat pada 21 Mac lalu bagi mengiktiraf usaha dan kerja keras pasukan bomba menangani bencana yang meletakkan agensi itu setanding agensi penguatkuasaan lain.
Sementara itu, Zuraida ketika berucap berkata, KPKT akan mengkaji permintaan kerajaan negeri untuk mengurangkan kes kebakaran membabitkan rumah panjang di negeri ini.
"Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg ada menyuarakan hasrat untuk kurangkan kes kebakaran rumah panjang di negeri ini dalam pertemuan pagi tadi (semalam).
"Jadi saya akan minta Mohammad Hamdan dan Nor Hisham berbincang bagi mendapatkan pandangan serta maklumat untuk menyelesaikan isu ini," katanya. -BH Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.