Kerajaan Negeri Sarawak Puji Pengamal Media Di Sarawak Lapor Berita Bertanggungjawab
MIRI - Kerajaan Sarawak memuji pengamal media di negeri ini yang dilihat berjaya dalam mengekal dan menyatukan bangsa serta lebih 30 etniknya yang mempunyai perbezaan budaya, agama dan kepercayaan dengan laporan-laporan yang bertanggungjawab.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Datuk Gerawat Gala memberitahu, beliau sedar media massa masih mempunyai pengaruh yang kuat ke atas rakyat Sarawak, terutama dalam menjamin aspek perpaduan dan keharmonian antara kaum.
Oleh itu beliau mahu, pengamal media tempatan di negeri ini, terus mengekalkan aspek positif tersebut, dengan bertanggungjawab dalam laporan mereka demi menjaga perpaduan kaum di Sarawak dan mengelak sensitiviti yang boleh menjejaskannya, dalam pada mereka menulis laporan-laporan yang seimbang.
“Media mempunyai kekuatan dalam mempengaruhi minda dan corak pemikiran masyarakat di sekelilingnya.
“Namun pada masa yang sama pengaruh media yang amat kuat ini juga boleh digunakan untuk mempromosikan perpaduan dan persefahaman dalam kalangan masyarakat serta menyatukan perbezaan rakyat yang berbilang bangsa, agama dan kepercayaan,” katanya. Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam ‘Gawai Raya NSJA’ anjuran Persatuan Wartawan Sarawak Utara (NSJA) di sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin.
Majlis tersebut turut dihadiri ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting, ADUN Pujut Dr Ting Tiong Choon, Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni, Presiden NSJA Andy Jong serta pengerusi penganjur Michelle Choo.
Pada masa yang sama, beliau mahu media massa di Sarawak mengamalkan keseimbangan dalam laporan dan yakin golongan wartawan di negeri ini khususnya di Miri, bersikap profesional dalam membuat laporan berita kerana wartawan sesungguhnya dibentuk dan dididik dengan sikap profesionalisme dalam menulis setiap laporan mereka, terutama dalam membantu menyumbang kepada pembangunan negara.
Katanya, ia juga perlu seiring dengan perkembangan media sosial dewasa ini yang semakin rancak.
Mengenai majlis makan malam ‘Gawai Raya’ yang dianjurkan NSJA, Gerawat memuji usaha tersebut yang dilihat terus memberi kesan kepada usaha kalangan wartawan di sini dalam mengamalkan keharmonian dan saling menghormati budaya serta kepercayaan masing-masing yang berbeza latar belakang agama dan bangsa.
Beliau turut berbangga dengan usaha NSJA yang memperkenal insentif pendidikan kepada anak-anak ahli yang berjaya dalam pendidikan dan mewakili sekolah masing-masing sama ada dalam bidang sukan mahupun kokurikulum.
“Usaha ini memperlihatkan para wartawan sedar bahawa pendidikan sesuatu medium yang amat penting dalam kehidupan dan kepada anak-anak mereka, untuk menjamin kehidupan yang lebih baik dan berkualiti pada masa depan.
“Langkah mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada anak-anak ahli yang cemerlang dalam akademik, sukan dan kokurikulum juga membuktikan wartawan sentiasa peka dalam perkara ini dan mahu memastikan anak-anak mereka turut serta dalam generasi yang berilmu pengetahuan dan menjadi insan berjaya,” katanya.
Gerawat kemudiannya mengumumkan peruntukan RM10,000 untuk NSJA manakala Lukanisman mengumumkan peruntukan RM5,000.
NSJA dalam pada itu turut berterima kasih kepada Sebastian kerana turut memberi peruntukan RM5,000 kepada NSJA untuk membolehkannya mewujudkan tabung anugerah insentif pendidikan bagi anak-anak ahlinya. -Utusan Borneo Online
No comments