Header Ads

Header ADS

MAPIM Sarawak Mahu Kerajaan Pakatan Harapan Pandang Serius Keperluan Pembangunan Di Sarawak


KUCHING - Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (MAPIM) Sarawak berharap kerajaan persekutuan baharu di bawah Pakatan Harapan (PH) memandang serius isu pembangunan di Sarawak khususnya di sekolah luar bandar.

Yang Dipertua MAPIM Sarawak Omar Immun berkata sekolah luar bandar Sarawak masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan prasarana.

MAPIM katanya, percaya kekurangan itu merupakan cabaran kepada warga pendidik untuk menjadikan pe-lajar dan sekolah luar bandar cemerlang.

“Justeru kita berharap Menteri Pendidikan yang baharu Dr Maszlee Malik akan serius melihat perkara ini kerana sebelum ini kita melihat ada sekolah luar bandar menampakkan potensi cemerlang dalam peperiksaan kebangsaan.

“Di sini kita yakin apabila sekolah luar bandar dilengkapi kemudahan asas sewajarnya, maka secara tidak langsung ia memberi satu semangat lebih bagus kepada warga pendidik dan pelajar di luar bandar,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Omar yang juga ketua penerangan MAPIM kebangsaan berharap lebih ramai tenaga pengajar mahir dihantar ke sekolah luar bandar bagi membangunkan lagi sistem pendidikan di situ.

“Seperkara yang penting juga ialah kita mahukan kerjasama yang baik dalam kalangan menteri bertanggungjawab terhadap pendidikan di Sarawak dengan menteri pendidikan di peringkat pusat bagi menjamin kesinambungan positif serta meneruskan kecemerlangan pendidikan di negeri ini,” tambahnya.

Mengenai pelantikan Maszlee sebagai Menteri Pendidikan yang baharu, beliau berkata MAPIM Sarawak melihat ia satu pemilihan tepat berdasarkan kapasitinya sebelum ini sebagai seorang yang terlibat langsung dalam pendidikan.

Menurutnya sebelum ini ramai menteri pendidikan yang dilantik bukan dalam bidang berkenaan dan setiap kali menteri bertukar, dasar pendidikan negara juga akan bertukar.

“Sebelum ini, kita dapat melihat setiap kali ada pelantikan menteri yang baharu, akan diwujudkan dasar-dasar baharu dan secara peribadi saya tidak menyokong tindakan seperti ini.

“Ini kerana dengan pertukaran dasar yang agak singkat, sebagai contoh menteri pendidikan dilantik bagi tempoh lima tahun kemudian ditukar dan sebagainya, maka ini menjadi beban kepada guru,” ujarnya.

Justeru katanya tindakan Maszlee untuk meneruskan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 tetapi akan ada penambahbaikan merupakan jaminan yang melegakan guru dan ibu bapa.

“MAPIM Sarawak berpendapat dengan meneruskan PPPM 2013-2025, dan jaminan beberapa penambahbaikan menunjukkan beliau (Maszlee) komited dengan kebaikan dasar terdahulu.

“Ini penting kerana setiap dasar diwujudkan mesti ada kebaikan dan nilai positifnya yang ingin dibawa dan pada masa sama mungkin kita terlepas pandang beberapa kelemahan tetapi wujud ruang untuk penambahbaikan,” katanya.

Pada masa sama katanya, MAPIM berharap dasar-dasar pendidikan yang diwujudkan sebelum ini, mempunyai nilai-nilai positif akan diteruskan.

Katanya, tidak mungkin sesuatu dasar diwujudkan tanpa penyelidikan dan perbincangan panjang lebar atau serius dalam kalangan menteri serta pegawai tinggi kementerian. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.