Header Ads

Header ADS

Kementerian Pendidikan Terpaksa Beli Diesel Baharu Bagi Keperluan Sekolah Di Sarawak


MIRI - Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik hari ini (semalam) memaklumkan pihak kontraktor yang dilantik tidak dapat lagi menyediakan bekalan bahan api diesel ke 369 buah sekolah di luar bandar negeri ini, menyebabkan sebahagian besar sekolah mulai berdepan krisis ketiadaan bekalan elektrik dan banyak yang mulai ‘bergelap’. 
Beliau yang memaklumkan maklum balasnya kepada Utusan Borneo dan The Borneo Post memberitahu, kementerian itu akan mengambil langkah segera bagi mengatasi masalah berkenaan, lebih-lebih menjelang sesi persekolahan penggal kedua yang akan bermula Isnin depan, 25 Jun, 2018 
"Saya maklum mengenai masalah bekalan elektrik yang dihadapi oleh sekolah-sekolah tertentu di Sarawak. 
“Sekolah-sekolah ini sepatutnya mendapat bekalan diesel daripada syarikat Jepak Holdings Sdn Bhd tetapi syarikat telah gagal menyediakan bekalan yang sewajarnya. 
“Saya akan memastikan agar bekalan diesel dapat disampaikan kepada sekolah-sekolah yang berkaitan secepat mungkin sebelum para pelajar kembali ke sekolah selepas cuti,” katanya. 
Beliau memberitahu, antara langkah segera yang akan diambil ialah membuat pembelian diesel yang baru, agar bekalan dapat segera dihantar di ke sekolah- sekolah yang berdepan dengan krisis bekalan bahan api tersebut. 
Sementara itu, pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin turut mengesahkan syarikat itu tidak dapat lagi menghantar bahan-bahan api diesel ke sekolah-sekolah kerana kegagalan Kementerian Pendidikan sebelum ini membayar tunggakan sebanyak RM200 juta kepada syarikat itu sejak Disember 2017. 
“Walaupun sebelum ini, kami belum lagi menerima sebarang bayaran (daripada kementerian), namun kami masih lagi menghantar bekalan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai isu berkaitan krisis bekalan bahan api ke sekolah-sekolah di Sarawak, ketika ini. 
Kos yang tinggi terpaksa ditanggung oleh syarikat itu menyebabkan ia akhirnya terpaksa berhenti menghantar bekalan ke sekolah-sekolah, namun tidak menjelaskan dengan lanjut punca kegagalan pembayaran dibuat oleh pihak kementerian sebelum ini. 

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.