England Akan Pamer Aksi Terbaik Pada Pusingan Kalan Mati Piala Dunia 2018
KALININGRAD - Jurulatih England, Gareth Southgate tetap berbangga meskipun tunduk di tangan Belgium pada aksi terakhir kumpulan dan beliau kini menetapkan fokus untuk 'perlawanan terbesar dekad ini' pada pusingan 16 terakhir.
England dan Belgium mengharungi aksi terakhir peringkat Kumpulan G dengan kedua-duanya sudah mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati.
Kemenangan 1-0 Belgium membolehkan mereka menamatkan saingan selaku juara Kumpulan G bertemu Jepun, Isnin ini sementara England sebagai naib juara menempah pertemuan menentang Colombia 24 jam selepas itu.
"Kami mahu memenangi perlawanan ini jadi kami tidak gembira kerana tewas. Namun kami tidak boleh bercakap apa yang akan berlaku pada perlawanan selepas ini.
"Saya berasakan ini adalah aksi yang kami mahu menangi tapi aksi pusingan kalah mati adalah perlawanan terbesar kami pada dekad ini.
"Perlawanan ini satu ujian yang bagus buat kami namun kami sudah mengintai perlawanan di peringkat kalah mati," katanya kepada ITV.
Southgate merehatkan sebilangan besar pemain yang sudah beraksi dalam dua perlawanan sebelum ini bertemu Tunisia dan Panama termasuk penggempur prolifik mereka, Harry Kane.
Mengulas lanjut mengenai kekalahan itu, Southgate berkata: "Ia perlawanan yang agak seimbang. Mereka mengawal permainan pada babak pertama tapi kami memiliki beberapa peluang di separuh masa kedua.
"Pemain pada malam ini tidak berputus asa malah kami perlu terus berusaha untuk menjadi lebih baik." - AFP
No comments